Zizan & Sam Bela Anak Angkat

Ghaz Abu Bakar (kiri) pengarah filem pecah panggung Polis Evo kembali menggabungkan Shaheizy Sam dan Zizan Razak dalam FTV Baby Bro

DUA bintang filem pecah panggung Polis Evo, Zizan Razak dan Shaheizy Sam sekali lagi bekerjasama. Kali ini bukan dengan aksi tembak-menembak tetapi mereka membela seorang anak angkat!

Baby Bro, filem televisyen (FTV) merupakan taruhan terbaharu trio Ghaz Abu Bakar, Zizan Razak dan Shaheizy Sam yang sebelum ini telah meletakkan Polis Evo sebagai filem aksi paling popular.

FTV ini turut menyaksikan kehadiran pelakon popular, Izara Aishah dan adik Qistina Raisah. Juga kemunculan istimewa personaliti-personaliti cilik popular seperti Aaisyah Dhia Rana, anak kepada pasangan selebriti, Rozita Che Wan dan Zain Saidin, dan Seri Aileen Marissa, anak buah kepada Emma Maembong dalam FTV ini.

Membaca jalan cerita Baby Bro ini teringat pula filem Inggeris, Three Men And A Baby keluaran tahun 1987 lakonan Tom Selleck, Ted Danson serta Steve Guttenberg.

Baby Bro ini dilihat cukup istimewa kerana berjaya menggandingkan pelakon-pelakon hebat tanah air di bawah arahan seorang pengarah yang cukup berkaliber dan berpengalaman.

FTV yang bakal ditayangkan pada 30 November ini juga diharap dapat memberikan sebuah hiburan yang ringan namun kompak kepada seluruh isi keluarga, lebih-lebih lagi pada musim cuti persekolahan ini.

Barisan pelakon utama Baby Bro, Zizan Razak, Izara Aishah, Adik Qistina Raisah dan Shaheizy Sam

Baby Bro mengisahkan tentang kehidupan seharian dua orang pemuda, Sham (Zizan Razak) dan Joe (Shaheizy Sam) yang mencari rezeki dengan cara tersendiri di kota Kuala Lumpur.

Kehidupan mereka berubah serta-merta dengan kehadiran seorang bayi yang tidak diketahui dari mana asalnya. Usaha untuk memulangkan semula bayi tersebut menemui jalan buntu sehingga mereka akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk menjaga bayi itu buat sementara waktu.

Tanpa mereka sedari, bayi yang digelar secara mesra oleh mereka sebagai Baby D, telah mula disayangi seperti anak sendiri.

Kehadiran bayi tersebut dalam dunia Joe dan Sham juga dilihat menyumbang ke arah positif yang mana pintu rezeki kedua-dua mereka kini lebih terbuka, mereka kelihatan lebih bertanggungjawab dan dengan adanya ‘Baby D’, ia mengajar mereka erti kesabaran.

Zizan Razak sebagai Sham
Shaheizy Sam memegang watak Joe

Dalam pada itu, hubungan persahabatan Sham dan jiran yang cukup diminatinya, Munirah (Izara Aishah) juga dilihat menjadi semakin intim kerana kehadiran ‘Baby D’.

Namun begitu, sebuah berita di kaca televisyen mengenai kehilangan seorang bayi yang mirip kelihatan seperti ‘Baby D’ telah membongkar rahsia sebenar bahawa ‘Baby D’ bukanlah anak saudara Sham seperti yang telah dimaklumkan kepada Munirah.

Adakah Sham dan Joe berjaya untuk terus menyembunyikan bayi tersebut? Dapatkah hubungan istimewa Sham dan Munirah terus bertahan setelah penipuan mereka terbongkar? Siapakah sebenarnya dalang kepada penculikan bayi tersebut?

Semuanya bakal terjawab pada 30 November ini di Astro First Eksklusif (saluran 480). Dengan hanya RM 15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian. Baby Bro juga boleh didapati di platform digital, on demand.

Pengantin Baharu Izara Aishah sebagai Munirah di dalam FTV Baby Bro yang bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif bermula 30 November ini