Zayan Qurban Tawar Peluang Anak-anak Muda Dalami Ilmu Penyembelihan Haiwan

RADIO Zayan dengan kerjasama Insaf Malaysia bakal menganjurkan sebuah Kursus Penyembelihan & Pengurusan Haiwan Ibadah Korban 2018 sempena kehadiran Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi.

Kempen Qurban Zayan dianjurkan khas bagi generasi muda yang ingin mendalami pengetahuan dalam melakukan sembelihan ternakan mengikut tuntutan syariah.

Kursus pembelajaran teori dan praktikal penyembelihan haiwan korban ini dijadualkan berlangsung di Masjid Muadz bin Jabal, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, Sabtu 11 Ogos ini.

Ia akan dikendalikan oleh penyampai radio Zayan, Anas Tahir bersama Presiden Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir.

Penyampai Zayan, penyanyi Mawi akan membawa bersama 5 orang peserta tambahan yang telah disaring melalui rancangan pagi Salam Bros untuk mempelajari teori dan praktikal penyembelihan haiwan mengikut tuntutan Syariah.

Pengurus Kandungan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata “Melalui kempen Qurban Zayan ini, kami ingin memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai kaedah sembelihan secara teori dan praktikal menurut Syariah.

“Generasi muda akan menjadi pelapis dalam bidang pengurusan dan penyembelihan haiwan ternakan supaya dapat terus menjamin kesejahteraan dan kebersihan.

“Dengan ini, kami ingin menjemput para pendengar Zayan untuk mempelajari ilmu sembelihan yang sempurna menurut Syariah secara percuma,” katanya.

Bagi yang berminat untuk menyertai kempen ini, hantarkan butiran peribadi anda dan sebarang pertanyaan mengenai kursus menerusi WhatsApp Insaf Malaysia ke +6010 8080 447 sebelum 10 Ogos.

Tempat adalah terhad dan keutamaan diberikan kepada peserta terawal yang mendaftar. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Radio Zayan mengetengahkan kandungan-kandungan kontemporari termasuk yang terkini tentang fesyen, teknologi, hiburan dan gaya hidup berlandaskan kehidupan komuniti Muslim moden.

Setakat ini, jenama Zayan telah mencapai 830 ribu pengikut di media sosial secara mingguan, dengan jumlah views sebanyak 16.8 juta sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu.