YANA SAMSUDIN Mahu Kembali Aktif Berlakon, Suami Tiada Halangan

HAMPIR dua tahun aktres Yana Samsudin hilang dari radar dunia seni setelah melahirkan zuriat sulung, Aisy Matin hasil perkahwinan dengan Fadzil Zahari, adik kepada Datuk Farid Kamil.

Baru-baru ini kelibat pelakon filem Adnan Sempit dan Strawberi Cinta itu muncul mengacarakan sebuah program jualan produk di dua buah stesen televisyen swasta.

Bagaimana pula karier lakonannya? Adakah sudah tidak mahu kembali aktif berlakon?

“Masa raya pertama baru-baru ini, ada satu telefilem baharu lakonannya berjudul Lamaran Perfect. Tapi ramai peminat tak menyedarinya sebab masa tayangan orang tengah sibuk beraya.

“Yana juga baru mengikat kontrak selama setahun sebagai duta sebuah produk ubat batuk tempatan. Sebenarnya tiada sekatan pun untuk dia terus aktif berlakon.

“Dia juga baru selesai penggambaran drama 20 episod berjudul Cinta Maya untuk RTM. Saya tiada halangan untuk dia terus berlakon.

“Anak pun dah besar sedikit. Selepas ini Yana akan kembali all out berlakon,” ujar suaminya, Fadzil Zahari kepada Mangga Media sewaktu ditemui dalam satu majlis di ibu kota, baru-baru ini.

Kerana kesibukan karier kedua-duanya di mana Fadzil turut bertindak selaku pengurus di syarikat pengurusan acara dan artis, Prokuya Production, jadi sistem giliran menjaga anak dipraktikkan.

“Kami tiada pembantu. Memang kami bergilir-gilir menjaga anak. Kalau saya sibuk, Yana akan banyak masa menjaga anak begitu juga sebaliknya.

“Kalau terpaksa disebabkan banyak kerja, saya bawa anak ke pejabat,” tambah Fadzil.