Video muzik ‘Ragaman’ FAIZAL TAHIR trending #1

RAGAMAN yang masih menjadi bualan hangat, kini Faizal Tahir muncul dengan video muziknya pula sehingga menjadi tular dan treding #1 di laman Youtube Malaysia. Video muzik yang baru dimuatnaik di saluran Youtube Faizal Tahir pada 27 September lepas, sudah mencecah hampir 1 juta tontonan dalam tempoh 72 jam.

Video muzik rasmi arahan Azhar Ismail ini turut menampilkan pelakon wanita popular, Nabila Huda Suhaimi yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28. Pemilihan Nabila dalam video muzik ini adalah atas kehendak Faizal sendiri.

Faizal menyifatkan Nabila mempunyai perwatakan yang sesuai untuk membawakan watak isterinya dalam video muzik itu. Ternyata ianya berjaya apabila ramai peminat turut menyifatkan pemilihan Nabila dalam video muzik ini sebagai sangat tepat kerana mempunyai raut wajah klasik dan daya tarikan tersendiri.

Ulas Faizal, “Pada mulanya saya rasa gementar kerana Nabila seorang pelakon yang hebat. Tetapi lama-kelamaan keserasian kami makin terserlah. Hasil kerja Nabila memang mengkagumkan! Saya terharu kerana Nabila memilih ‘Ragaman’ untuk menjadi video muzik pertama lakonannya”.

Bukan itu sahaja, video muzik ini turut menampilkan anak-anak perempuan Faizal sendiri yang juga pemilik suara kanak-kanak yang muncul di bahagian intro dan outro dalam lagu ‘Ragaman’. Ini merupakan kali kedua Faizal menampilkan anak-anaknya dalam video muzik selepas video muzik ‘Sayang’. Kata Faizal, “Saya sentiasa cari peluang yang baik untuk anak-anak turut terlibat dengan kerja saya. Saya mahu mereka berasa mereka membantu dalam kerja saya. Membimbing dan mengawal anak kecil untuk melakukan kerja macam ini bukan suatu tugas yang mudah dan memang kena banyak bersabar sebab mereka banyak ragam. Sesuailah dengan lagu ‘Ragaman’. Tetapi saya suka bekerja dengan anak-anak sendiri. Ia membuatkan kami lebih rapat sebagai satu keluarga”.

Biarpun karya Faizal ini menceritakan tentang kisah seorang suami yang sabar melayani kerenah isteri yang bermacam-macam ragam, namun Faizal menafikan bahawa ‘Ragaman’ adalah berdasarkan kisah rumah tangganya sendiri. Sebaliknya, ia merupakan cetusan imaginasinya yang mendapat idea daripada kisah realiti rumah tangga yang pernah disampaikan kepadanya. Dalam masa yang sama Faizal turut mengambil inspirasi kisah yang digambarkan dalam filem-filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Mengulas tentang mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu ‘Ragaman’ dan juga video muzik ‘Ragaman’, tambahFaizal, “Mesejnya mudah tetapi sering dilupakan. Walau banyak mana atau macam mana pun ragam atau kerenah pasangan kita, kita harus banyak bersabar, belajar memahami dan bertolak ansur. Kalau kita dah berjanji untuk sehidup semati, memang kena beri sehabis baik dan sedaya upaya untuk menunaikan janji itu”.

‘Ragaman’ merupakan single terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. ‘Ragaman’ boleh didapati di Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. Manakala video muziknya boleh ditonton di saluran Youtube Faizal Tahir.