UTUSAN BUSINESS AWARDS 2017- Penilaian Lebih Ketat

Mohd Noordin Abbas bersama trofi yang akan diberikan kepada para penggiat industri cemerlang di malam anugerah Utusan Business Awards 2017. FOTO: SHAHRIL AZMAN ZAIN

Bahang penganjuran Utusan Business Awards 2017 (UBA 2017) yang akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka ibukota hujung Mac ini semakin terasa dengan jumlah penyertaan daripada penggiat industri yang semakin bertambah.

Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dalam satu wawancara bersama Mangga Media, Utusan Karya dan Utusan Malaysia berkata, anugerah berprestij itu menjangkakan penilaian juri yang lebih ketat berikutan sambutan luar biasa yang diterima.

Berikut temubual bersama Datuk Mohd Noordin Abbas:

  1. Mengapakah Utusan Business Awards diteruskan penganjurannya untuk kali kedua?

Utusan Business Awards (UBA) yang dianjurkan pada tahun 2016 lalu merupakan satu penganjuran yang telah berjaya melonjakkan lagi nama Utusan di kalangan penggiat industri perniagaan kerana ia merupakan acara anugerah perniagaan yang julung kali dianjurkan oleh syarikat.

Ini kerana acara berprestij ini dinantikan oleh para pemain industri tempatan yang bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada golongan bumiputera malah menghargai peranan semua kaum yang telah menyumbang kepada pembangunan negara.

Saya berpendapat, amatlah wajar UBA diteruskan kerana ia merupakan titik permulaan yang membentangkan landasan luas kepada Kumpulan Utusan untuk melebarkan sayap ke arah pencapaian yang lebih gemilang.

Malah usaha Kumpulan Utusan menganjurkan anugerah ini ialah bagi mengorak langkah setapak lagi dengan memperkukuhkan pengaruh dengan  menceburi dalam bidang-bidang perniagaan lain, selain media cetak.

 

  1. Berapa kategori yang diwujudkan kali ini dan pembaharuan kategori jika ada termasuklah buka peluang kepada penggiat-penggiat seni?

Bagi UBA 2017 kali ini, sebanyak 42 kategori bakal diiktiraf penerimanya menerusi kecemerlangan dalam industri dan kepimpinan.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 7 anugerah baharu diperkenalkan dengan meluaskan lagi penilaian anugerah yang merangkumi pelbagai sektor perniagaan lain antaranya sektor ekonomi digital, fesyen, e-dagang serta beberapa lagi.

Kita faham artis-artis juga ada terlibat dalam perniagaan. Mereka boleh bertanding dalam kategori-kategori perniagaan yang kita buka.

Namun begitu, anugerah utama UBA masih dikekalkan iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (tiga penerima) & Anugerah Tokoh Negarawan Ulung. Kesemua calon penerima masih di dalam peringkat perbincangan oleh jawatankuasa.

3. Apakah kriteria penilaian lebih ketat untuk UBA 2017 berbanding UBA tahun lalu?

Kesemua anugerah dinilai menerusi perspektif yang lebih meluas dengan melihat sumbangan masing-masing dalam menaik taraf kemakmuran masyarakat dan negara.

Selain itu, kami juga mengambil kira sumbangan sesebuah entiti syarikat dari sudut sosial, ekonomi, penglibatan dalam tanggungjawab sosial (CSR) dan politik.

Bagi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, kategori ini dihadkan kepada tiga tokoh penerima dimana pencapaian dan sumbangan sepanjang hayat mereka ke arah ekonomi dan komuniti perniagaan secara global.

Kesemua pencalonan akan disaring secara berperingkat oleh sekretariat UBA sebelum dinilai oleh juri luar, dan keputusan akhir akan diteliti oleh juri dalaman sebelum majlis anugerah berlangsung.

Selain itu, surat pencalonan juga turut dihantar kepada individu-individu dan syarikat-syarikat yang ingin mencalonkan peneraju atau syarikat mereka sebagai calon penerima.

 

 

4. Apakah kelainan yang ingin ditonjolkan menerusi UBA 2017 ini?

Selain memperkenalkan beberapa kategori baharu dan penilaian yang lebih terperinci, sebuah mini pameran akan dipamerkan pada malam anugerah dimana ia menonjolkan penerima-penerima UBA 2015 berserta portfolio mereka selain gambar-gambar sekitar majlis UBA 2015 berlangsung yang telah dihadiri oleh DYMM Sultan Perak sebagai tetamu kehormat Diraja.

Ini bertujuan bagi mengambil aura kemeriahan majlis yang julung kali dianjurkan itu selain menghargai penerima-penerima terdahulu yang kebanyakannya merupakan peneraju-peneraju syarikat gergasi perniagaan di Malaysia.

 

5. Apakah impak yang diperolehi hasil daripada penganjuran UBA kepada Utusan?

Utusan Business Awards (UBA) membuktikan bahawa Utusan mampu melonjakkan lagi pengaruhnya bukan sahaja dalam aspek berita tetapi juga dalam bidang perniagaan.

Ini dapat dilihat menerusi penganjuran UBA 2015 telah berjaya membantu menyerlahkan lagi potensi pemain industri dan syarikat yang sudah lama berkecimpung dalam bidang masing-masing.

Malah, kebanyakkan penerima anugerah 2015 masih menggunakan logo UBA pada setiap papan iklan syarikat masing-masing sebagai menunjukkan mereka antara syarikat perniagaan berprestij yang diiktiraf di negara ini.

Ini kerana anugerah yang diterima berjaya menaikkan profil serta imej syarikat masing-masing.

Melihat kepada kejayaan dan impak yang diterima oleh Utusan hasil daripada penganjuran ini, maka insyallah kita berharap untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan sebagai salah satu komitmen kita dalam menghargai jasa dan sumbangan pemain industri tempatan di negara ini.

*Syarikat-syarikat dan sektor awam dipelawa untuk mendaftar sebagai calon penerima di laman web www.utusanawards.com atau hubungi Sekretariat UBA 2017 di talian 03-8070 7666, faks 03-8070 0666 atau e-mel [email protected]