{VIDEO} UDE Bela Izreen, Minta Bekas Isteri Henti Pembohongan & Drama Airmata

PEMUZIK bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, atau Ude meluahkan rasa terkilan orang ramai menyalahkan isteri keduanya pelakon, Izreen Azminda Aznam sebagai punca perceraian dengan isteri pertama, Intan Liana Saleh, 33.

Ude menjatuhkan talak satu ke atas Intan Liana di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis, 22 Mac sekitar pukul 9.50 pagi.

Pasangan ini berkahwin selama lima tahun dan mempunyai dua anak lelaki, Arish Muqri, 3 serta Ariq Muqri, setahun.

Ude kini milik Izreen Azminda sepenuhnya setelah sah bercerai talak satu dengan isteri pertama, Intan Liana Saleh di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Khamis, 22 Mac. FOTO: EMMA HASSAN

Ude mengahwini Izreen dalam satu majlis tertutup di Damansara pada 8 Ogos tahun lepas. Beliau menfailkan permohonan cerai terhadap Intan Liana, 30 November tahun lalu.

Bagaimanapun kemudiannya menarik semula permohonan cerai tersebut sebelum kembali meneruskannya, Januari, baru-baru ini.

Intan Liana membawa anak lelaki bongsunya, Ariq Muqri yang masih menyusu badan semasa prosiding perceraian di Mahkamah Syariah Gombak Timur.
Intan Liana diwakili peguam syarie, Suriany Awaludin (kiri) dan ditemani kakaknya, Rosalwa Saleh semasa kes lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada Khamis, 22 Mac.

Izreen pernah berkahwin dengan pengarah drama yang juga jurukamera, Muhammad Riza pada 2012, namun bercerai empat tahun lalu. Mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Adrian Umar, 5.

“Saya dipandang serong oleh orang ramai seolah-olah suami dan bapa kejam. Orang ramai tak tahu masalah rumah tangga saya dengan Intan.

“Saya terkilan Izreen dipersalahkan sebagai punca perceraian. Kes ini tidak melibatkan orang ketiga.

“Puncanya kerana saya dan Intan sudah tiada persefahaman walau kami cuba menyelesaikan masalah rumah tangga,” jelas Ude.

Sebelum lafaz cerai, kedua-duanya diminta Hakim bersalaman dan bermaafan. Intan Liana dilihat menitiskan airmata sebelum mengucup tangan bapa kepada dua anak lelakinya itu.

Peguam syarie, Mohd Zaidi Mohd Zain mewakili Ude atau Muhammad Radzi Abdul Wahid.