TODAK FEST 2019 Tawarkan RM100,000

Shiha Zikir (tengah) bersama Kumpulan Hujan dan Kugiran Masdo akan memeriahkan TODAK FEST 2019

Wahh..  Sebuah acara menarik apabila Esports, Muzik dan Makanan Extravaganza digabungkan di bawah satu festival yang diberi nama TODAK FEST 2019.

TODAK FEST 2019 merupakan sebuah festival Esports tempatan terbesar yang bakal berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Januari tahun hadapan di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC).

Dijangkakan lebih 10,000 pelawat, penonton festival dan juga pemain Esports di seluruh Malaysia akan menghadiri acara besar-besaran ini.

TODAK FEST 2019 anjuran julung kalinya oleh Todak Gaming Community ini bakal menampilkan pertandingan Esports, persembahan muzik secara langsung
dan sajian makanan istimewa di bawah satu bumbung. Hebat kan!

Menurut Naib Presiden Todak Gaming Community, Ahmad Fadli Ahmad Dahlan semasa majlis sidang media di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, festival ini mempunyai sumbangannya tersendiri kepada negara.

“Todak Fest 2019 merupakan salah satu sumbangan dan usaha kami ke arah perkembangan Esports di tanah air. Festival ini diharap dapat menyatukan pelbagai komuniti dengan adanya Esports, muzik dan seleksi makanan terbaik Malaysia dalam satu festival.

” Dalam masa yang sama ia juga memberi pengalaman unik kepada pendatang baru tentang keberadaan Esports yang semakin
mendapat tempat di hati anak-anak muda tempatan.

“Kami sangat teruja membawakan tiga elemen terbaik ini dalam membudayakan Todak Fest sebagai sebuah festival hiburan yang unik di rantau ini.”

RM 100,000 Untuk Todak Cup Mobile Legends Championship

Dalam majlis sidang media tersebut, Ahmad Fadli turut mengumumkan satu
kejohanan baru yang kompetitif pada awal Disember lalu menerusi platform media sosial rasminya yang dinamakan Todak Cup Mobile Legends Championship yang turut mendapat sokongan daripada Moonton selaku pembangun aplikasi permainan Mobile Legends.

Todak Cup Mobile Legends Championship menawarkan hadiah berupa wang tunai RM100, 000

Ia merupakan perlawanan Mobile Legends paling mencabar dengan satu siri kejohanan ‘knockout’ yang akan memberikan peluang kepada pemain profesional dan amatur  bersaing dalam merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 berserta kontrak sebagai pemain berkumpulan rasmi.

Perlawanan saringan akan bermula pada awal Januari 2019 dan penyertaaan sudah pun dibuka dengan pendaftaran PERCUMA  melalui todak.com/todakfest.

Peminat Esports boleh menonton siaran langsung perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir secara online menerusi youtube.com/todaktv atau menyaksikan sendiri perlawanan secara offline di Todak Fest 2019.

Pengunjung juga berpeluang untuk menyertai pertandingan terbuka FIFA 19 dengan hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 dan menjadi antara yang pertama mencuba permainan demo ‘virtual reality’ (VR) serta simulator 3D kereta lumba yang akan dipamerkan sepanjang festival ini berlangsung.

SHIHA, HUJAN & KUGIRAN MASDO ‘Gegar’ Todak Fest 2019

Shiha Zikir antara artis yang akan memeriahkan TODAK FEST 2019 pada 26 dan 27 Januari 2019

Barisan artis popular tanah air seperti Shiha Zikir, Hujan, Kugiran Masdo dan ramai lagi bakal menggegarkan acara tersebut termasuk 20 vendor makanan yang terkenal yang dibawakan khas dalam Todak Fest 2019.

Selain itu, acara yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ini  menawarkan kepada 500 pengunjung pertama setiap hari yang berkunjung ke Todak Fest 2019 untuk menerima topi berbentuk ‘snapback’ secara percuma daripada Todak Gaming Community.

Masuk adalah percuma dan dibuka dari jam 10.00pagi hingga 10.00malam.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman sesawang rasmi : todak.com/todakfest atau Facebook, Instagram dan Twitter : todakfest