“Tiada Yang Nakkan Saya”- Kaer Azami Puji Kecantikan Wanita Indonesia

SEBELAS tahun merantau di Indonesia mengusahakan dua bisnes pakaian jenama Kazami dan Quhji, sukar dipercayai apabila Kaer Azami, 33, mengakui tiada seorang pun wanita sangkut di hati.

“Memang tiada. Sebenarnya, saya lebih selesa bersendirian apatah lagi punya komitmen tinggi pada perniagaan ditambah sekarang kembali aktif menyanyi setelah 10 tahun senyap.

“Saya tiada masa nak bercinta. Bukan berahsia tapi memang tiada yang istimewa. Yang lebih penting sekarang ialah karier serta keluarga,” ujar Kaer kepada Mangga Media.

Beliau juga menghabiskan pengajian selama tiga tahun dalam jurusan perniagaan peruncitan dari salah sebuah institusi di republik pimpinan Presiden Joko Widodo (Jokowi) itu.

Bagaimanapun, pelantun lagu hit Izinkan Ku Pergi ini tidak menafikan kejelitaan wanita-wanita Indonesia.

“Wanita-wanita Indonesia memiliki kecantikan tersendiri, terutamanya dari keturunan Sunda, Jawa dari daerah Solo dan Manado.

“Tapi tiada orang yang nakkan saya… sebab itu sampai sekarang solo. Sebelum ini, seorang teman beritahu adalah beberapa kawan perempuan di sana sukakan saya secara diam-diam.

“Tapi dia pendam rasa suka itu. Bila dah balik menetap semula di Malaysia baharulah saya tahu. Tak ada jodoh.

“Saya percaya, sampai masanya jodoh itu akan datang. Dah ada nanti saya sendiri akan maklumkan.

“Keluarga pun tak mendesak suruh cepat kahwin… saya tak sunyi pun sebab kawan-kawan dan keluarga sentiasa ada di sisi,” jelas bekas finalis Akademi Fantasia 2 ini lagi.

Pasangan duet Amylea Azizan ( pemenang ketiga AF3) melalui lagu Tak Pernah Hilang ini juga gembira lantaran muzik video lagu tema drama sensasi Nur itu mencecah enam juta jumlah tontonan di Youtube.

Kaer dan Amylea bakal mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Ahad, 26 Ogos ini bermula pukul 2.00 petang.