“Tiada Siapa Yang Gelak…”

Aeril Zafrel menganggap komedi bukan jiwanya. FOTO: HELMI WONG.

SEMASA majlis Anugerah Telenovela, baru-baru ini, Aeril Zafrel diangkat sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik menerusi karakternya sebagai detektif dalam drama bersiri penyiasatan, Mandatori.

Siri arahan Megat Shahrizal itu ditayangkan sebanyak lapan episod di saluran premium Astro First Eksklusif.

Kerap melakonkan karakter berat, tidakkah suami aktres Wawa Zainal ini mahu mencabar diri berlakon komedi pula?

“Saya cuba buat drama komedi, tapi saya rasa orang takkan gelak… Pernahlah buat dulu. Cuma isteri saya seorang saja yang gelak, sambil tanya kenapa berlakon begitu?

“Bukan tak nak cabar diri, tetapi saya tahu kekurangan diri…Tentang komedi itu biarlah bagi pada pelawak hebat.

“Ada banyak tawaran berlakon komedi tapi rasanya saya bukan jenis yang spontan boleh buat lawak.

“Saya tiada bakat itu… komedi bukan makanan saya. Saya lebih pada jalan cerita yang berat,” jelas Aeril kepada Mangga Media.

Sekali lagi, beliau bakal menggalas karakter berat dan mencabar menerusi drama bersiri 10 episod berjudul Jibril.

Aeril Zafrel memegang watak Tengku Khalis dalam pementasan teater Tanah Akhirku di Istana Budaya, bermula 28 Ogos hingga 2 September ini.

Drama arahan sutradara sama dalam Mandatori ini bakal bersiaran di medium online dan ntv7.

Jibril berkisar tentang seorang peguam yang memiliki kuasa luar biasa mampu meramal masa depan dan membaca fikiran orang lain.

Disebabkan kelebihannya itu, beliau selalu menang dalam setiap kes perbicaraan. Turut berlakon ialah Lisa Surihani.

Aeril juga bakal terlibat memegang watak utama dalam pementasan teater Tanah Akhirku di Istana Budaya, Kuala Lumpur, daripada 28 Ogos hingga 2 September ini.