“Tiada Jodoh, Sudah Putus”- Sophia Latjuba

Hubungan cinta lima tahun Sophia Latjuba- Ariel Noah kini sudah berakhir.

AKHIRNYA supermodel dan pelakon jelita Sophia Latjuba, 48, tidak mampu menyembunyikan lagi hakikat hubungan cinta lima tahun dengan vokalis band Noah, Ariel sudah sampai ke garisan penamat!

“Ya… kami sudah putus cinta. Saya percaya semua ini ketentuan Tuhan, kami tiada jodoh,” luah Sophia ketika ditebak wartawan di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Janda beranak dua itu menegaskan keretakan hubungan dengan pelantun lagu Separuh Aku itu bermula awal tahun, baru-baru ini.

Hakikatnya, sejak dua tahun lepas pengamal media juga peminat sudah menghidu ada sesuatu tidak kena mengenai hubungan cinta pasangan beza usia sebelas tahun ini.

“Hubungan sudah tidak mampu diselamatkan lagi. Puncanya, biar kami sahaja yang tahu. Pokoknya, tak ada jodoh,’ ungkap Sophia lagi tentang bekas kekasih yang juga duda beranak satu itu.

Dikaitkan juga dengan seorang hos televisyen, Robby Purba, ibu kepada pelakon filem Pendekar Tongkat Emas, Eva Celia ini mengatakan lebih suka bersendirian buat masa ini.

“Kini saya sedang menikmati waktu-waktu single. Di masa akan datang, saya sendiri tidak tahu apakah akan menjalin hubungan dengan pemuzik lain.

“Saya ngak trauma. Cuma ngak mahu terlalu memikirkannya. Saya senang bersendirian di waktu-waktu begini. Doakan saja yang baik-baik,” ujar bintang filem komedi Comic 8: Casino King dan filem seram, Roh Yang Tak Terlihat.