Terharu Permintaan Neelofa, ALIF SATAR Tidak Bergantung Gosip Untuk Popular

KITA lupakan tentang Fattah Amin dengan segala bagai hashtag mengaitkannya dengan dua pelakon wanita. Kerana ketika ini juga pelakon lelaki yang dilihat hampir langsung tidak mengecewakan dari segi persembahan lakonan ialah Alif Satar.

Selain memberi lakonan hebat di dalam filem televisyen (FTV) Memori Pajeri Nanas, beliau bakal masuk set drama bersiri 20 episod, Red Velvet bergandingan buat pertama kali dengan Noor Neelofa.

“Dalam Red Velvet, saya pegang karakter Izat seorang pakar buat kek. Saya excited nak berlakon dengan Neelofa, sama macam pertama kali digandingkan dengan Tiz Zaqyah dalam Memori Pajeri Nanas.

“Saya pula dapat tahu, Neelofa maklumkan kepada pengarah dia teringin berlakon dengan saya. Itu buat saya terharu sebab seseorang yang terkenal, popular dan berjaya dengan bisnes tudungnya meminta untuk digandingkan dengan saya.

“Saya lihat Neelofa amat serius dalam kerjaya lakonannya. Dalam drama ini nanti dia lakonkan watak berbeza dan saya yakin dia mampu melakukannya.

“Gosip bagi saya lumrah dunia seni. Tetapi janganlah jadikan gosip itu lebih utama berbanding persembahan lakonan,” ungkap Alif kepada Mangga Media ketika ditemui semasa tayangan perdana Memori Pajeri Nanas di ibu kota, baru-baru ini.

Ia bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif saluran 480 dengan harga tawaran RM15.90 bermula 20 Julai ini.

Alif Satar mahu kekal bersih gosip. FOTO: ROHAIDA ZULKIFLI

Mengenai hashtag tertentu yang direka sesetengah peminat terhadap gandingan pelakon kegemaran, Alif mempunyai pandangan berbeza.

“Pada saya semua itu tidaklah. Saya lebih suka orang tengok hasil kerja daripada gosip. Kalau gosip lebih famous dari kerja, jadi kenapa mesti nak terus berlakon, betul tak?

“Saya tak bimbang kerana ada peminat suka, begitu juga sebaliknya. Orang bayar buat kerja saya buat yang terbaik.

“Kalau dah berlakon bagus macam mana pun tetapi Allah kata ia tak meletup, maka ianya takkan menjadi

“Tetapi sebaliknya pula kalau tak buat bersungguh-sungguh, tetapi Allah kata meletup, maka rezekilah. Saya buat apa yang saya tahu akan jadikan ia hebat dan selebihnya berserah pada Allah.

“Kerjaya saya selama ini pun tak bergantung pada gosip. Itu lebih berbaloi dalam sebelas tahun saya menjadi anak seni sejak berusia 16 tahun.

“Saya bersih gosip dan saya mahukan ianya kekal begitu,” jelas Alif yang juga handal menyanyi menerusi lagu-lagu popular antaranya, Cukup Indah, Lelaki Seperti Aku, Jangan Nakal dan Selamanya Cinta.

Single baharu Jatuh Cinta mengisi latar filem Kau Yang Satu, lakonan Aaron Aziz dan Izara Aishah.

Selain bagus berlakon, Alif Satar juga diyakini sebagai pengacara dan penyanyi

Jika ada pelakon lelaki lain yang baru membuat novel, Alif pula sudah menghasilkannya sejak usia 16 tahun berjudul Bagai Sejuta.

Novel tersebut dihasilkan bersama bekas pengurusnya, allahyarham Meor Shariman selepas menyertai program realiti One In A Million (OIAM).

Alif juga mahu terus aktif sebagai penggiat seni yang stabil dalam lakonan, nyanyian serta pengacaraan.

Beliau pernah mengendalikan program besar antaranya Anugerah Skrin, Akademi Fantasia selain program hiburan lain, Suka Lettew dan Meletop Kebabom.

“Saya suka buat semua itu. Saya ini penggiat seni dan tak suka buat kerja separuh jalan. Sesetengah orang tengok short term tetapi saya fikir long term,” terang Alif, bapa kepada dua anak perempuan, Alisha Anugerah, 2 dan Ariana Mecca, lima bulan.