“Tengok Muka Ernie Dan Cuba Feel”- Alasan Vokal Terbaik SYAMEL

Syamel dan Ernie pasangan duet generasi baharu yang serasi. FOTO: ROHAIDA ZULKIFLI/NOOREEZA HASHIM

“KALAU budak dua orang ini tak menang, bermakna juri pekak!’ Begitu antara komen yang pernah dilontarkan beberapa penyanyi senior yang mengagumi kualiti vokal dua penyanyi muda, Syamel dan Ernie Zakri.

Pasangan duet lagu Aku Cinta itu berjaya membuktikan kata-kata tersebut tidak silap apabila diangkat memenangi anugerah Vokal Terbaik di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), Ahad lepas.

Malahan komen ketua Juri AJL32, Azmeer pula mengatakan persembahan vokal Syamel dan Ernie tiada cacat-cela, adalah pitch perfect serta perfect 10, menambat hati sepuluh orang juri.

“Saya dan Ernie awalnya memang tidak meletakkan harapan untuk mengalahkan sesiapa. Tetapi vokal paling digeruni ialah Salma dan Dayang Nurfaizah.

“Bahkan semasa latihan pun saya tak mahu lihat persembahan mereka kerana takut nanti beri lebih tekanan.

Anugerah Vokal Terbaik AJL32, mengenepikan saingan terdekat Dayang Nurfaizah, pemenang empat kali kategori sama.

“Tetapi gementar jugalah semasa dengar persembahan mereka di malam AJL. Untuk cuba lebih menghayati lagu ini, saya akan tengok muka Ernie dan cuba feel.

“Saya lakukan itu untuk dapatkan penghayatan, tetapi setiap kali itulah juga saya kana tergelak sebab Ernie akan buat muka lucu,” ujar Syamel yang ketika ini terhambat gosip ‘sayang menyayang’ dengan pasangan duetnya itu.

Sebagai pencipta lagu tersebut, Syamel bersyukur mendapat pasangan duet yang banyak membantu selain memberikan komitmen terbaik.

“Terima kasih kepada Ernie yang sudi berduet dan bagi saya beliau telah memberikan komitmen 200 peratus. Habis sahaja tugasan malam itu, kami puas hati dan lega, langsung tak fikir menang atau kalah.

“Kerserasian itu timbul sejak tiga bulan kami bertanding dalam Duo Star.  Andai Ernie masih sudi, kami pasti akan mengeluarkan lagu duet lagi,” ungkap Syamel kepada Mangga Media.