TASHA MANSHAHAR sah isteri RAQIB

ALHAMDULILLAH dan selamat pengantin baru Manggamedia ucapkan kepada penyanyi Tasha Manshahar dengan suaminya Raqib Majid iaitu penyampai radio Zayan.

Dengan sekali lafaz, pasangan ini sah menjadi suami isteri tepat pukul 9.50 pagi pada 8 September 2018 di Masjid Jamek Kajang, Selangor. Tasha atau nama sebenarnya Nadia Natasha Mohd Manshahar (26 tahun) dengan Fahrur Raqib Abdul Majid (28) dinikahkan oleh ayah pengantin perempuan, Mohd Manshahar Abdul Jalil (59).

Tasha menerima mas kahwin sebanyak RM300, sebentuk cincin, seutas gelang dan lima dulang hantaran manakala hantaran perkahwinan pula dirahsiakan. Raqib pula menerima tujuh dulang hantaran dari pengantin perempuan.

Buat masa ini, Tasha dan suaminya belum ada perancangan untuk menikmati masa berbulan madu sebagai pengantin baru. Katanya, “Bagi saya dan Raqib, berbulan madu itu bukan satu kewajipan yang mesti dilakukan. Lagipun dengan kekangan waktu kami berdua yang masing-masing sibuk dengan kerjaya. Cukuplah memadai ada waktu kualiti bersama.”

Pasangan pengantin bergambar kenangan bersama keluarga.

Pasangan pengantin ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi pada 9 September di Royal Palace, Shah Alam, Selangor untuk majlis sebelah perempuan. Manakala majlis di pihak lelaki pada 22 September di The Muzaffar Hotel, Melaka.

Pasangan ini bertunang pada 24 Disember 2017 di Kajang. Sekarang ini, Tasha bertugas sepenuh masa sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Melaka. Raqib yang bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) bekerja sebagai penyampai radia Zayan.