Taklah Terbawa-bawa Rasa Benci Itu Sampai Nak Pukul!

KARAKTER wanita gedik Ana Julia yang suka menggatal dengan suami orang, Tengku Wildan lakonan Redza Rosli, membuatkan Janna Nick menjadi mangsa kebencian peminat.

Secara tak langsung, drama Isteri Untuk Diiktiraf itu mencatat trending setiap kali ditayangkan di TV1.

“Karakter Ana Julia saya nampak ramai benci. Tengok rambut kejung Ana Julia itu pun dah buat orang menyampah!

“Memang pun watak itu dicipta khas untuk dibenci. Saya taklah risau, peminat pun matang. Tidaklah sampai terbawa-bawa rasa benci itu sampai nak pukul saya.

“Nak buat orang tak suka dan benci ini mudah saja. Tetapi nak buat orang suka itu yang susah. Membawa karakter antagonis tidaklah terlalu sukar buat saya berbanding watak baik.

“Nak jadi baik itu yang susah sebenarnya. Cabarannya lebih berat, sebab perlu mahir bahasa tubuh, lontaran dialog kena tahu nak kawal.

“Kalau antagonis, dah faham sangat boleh hambur apa sahaja kata-kata yang boleh menyirapkan darah orang yang menonton,” jelas Janna kepada Mangga Media.

Tengok rambut kejung watak Ana Julia pun dah buat orang menyampah!

Tidak terlalu tertekan membaca setiap komen pedih yang bencikan karakter antagonis itu, namun memberi kepuasan kepada pelantun lagu Akan Bercinta ini.

“Saya seronok walau rela dibenci peminat. Tapi hanya untuk watak ini sajalah. Sekurang-kurangnya bila dapat tahu watak lakonan saya itu dibenci bermakna ianya menjadi.

“Di masa akan datang andai diberi peluang, saya teringin bawa watak budak cacat fizikal. Contohnya juga macam watak budak terencat akal.

“Sampai sekarang belum ada produksi berani berikan watak sebegitu kepada saya,” ujar Janna, pelakon drama popular Suami Tanpa Cinta, Keluarga Karaoke dan Syurga Nur.

Bagi Lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi, buat pertama kali Janna beraya di Russia bersama Alvin Chong atas undangan kerja oleh sebuah jenama telefon bimbit popular.

Bertolak ke Russia pada 11 Jun ini dan berada selama lapan hari sekaligus menyambut Hari Raya Aidilfitri berjauhan dari keluarga. Janna turut ditemani adik perempuannya, Kissya Nick.