Tak Pernah Tambah Nasi, Petua Sihat & Awet Muda FAIZAL HUSSEIN

Faizal Hussein masih laris tawaran berlakon di usia 51 tahun. FOTO: HELMI WONG

DI usia 51 tahun, Faizal Hussein masih segak, awet muda, sihat dan masih cergas melakonkan semua aksi lasak sendiri baik dalam drama mahupun filem. Apa rahsianya?

“Sepanjang hidup, setiap kali makan, saya tak pernah tambah nasi. Apa yang ada dalam pinggan, saya habiskan, tidak sesekali menambah nasi.

“Tengoklah, kalau perut betul-betul lapar, letakkanlah banyak nasi. Saya cedok nasi sekali saja. Walaupun lauk sedap macam mana pun saya takkan sesekali tambah nasi.

“Juga banyak minum air suam berbanding minuman berais,” jelas Faizal Hussein, pelakon filem Tombiruo dan tentunya watak legenda Azroy dari Gila-gila Remaja.

Tiada sebarang pantang larang terhadap apa jua jenis makanan, pemegang watak peguam filem kontroversi Dukun ini juga tidak terlalu memaksa diri ‘bermain besi’ di gimnasium seperti kebanyakan lelaki lain lakukan.

“Kantung perut saya masih kecil lagi. Sampai sekarang berat badan masih maintain macam usia remaja dulu.

“Dari segi fizikal untuk kestabilan stamina sebelum setiap kali masuk set baharu, saya hanya akan mengangkat besi sedikit sahaja.

Semasa di set filem televisyen The Hantus bersama Hannah Delisha, Alif Satar, Namron dan Khatijah Tan.

“Itupun kalau ada karakter yang berat, memerlukan saya menggunakan banyak tenaga fizikal seperti melakukan lagak ngeri sendiri, contohnya macam watak saya dalam filem Kalla The Movie.

“Saya hanya akan keluar berjoging andai ada watak berat drama atau filem aksi. Tapi tak adalah setiap hari nak main besi di gim,” ujar sepupu pelakon dan penerbit Suhan Movies, Datuk Rosyam Nor.

Fizikal Faizal Hussein masih mantain meski usia mencecah warga emas.

Bapa sepasang anak ini ditemui Mangga Media sewaktu tayangan perdana filem televisyen (FTV) The Hantus di ibu kota, baru-baru ini.

FTV terbitan pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad dari KMN Productions itu menyaksikan Faizal memegang watak hantu ‘Abang Volkswagen Kuning.’ Pelakon utama lain, Alif Satar, Hannah Delisha serta Khatijah Tan.

The Hantus menawarkan langganan di Astro First Eksklusif mulai 15 Jun ini sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.