Sweet Record Beri Peluang Artis Kelantan Kembang Bakat

PELUANG baik bagi bakat-bakat besar daripada Kelantan untuk melebarkan kebolehan mereka ke persada seni tanah air. Syarikat rakaman Sweet Record yang beribu pejabat di Kuala Lumpur memberi tumpuan kepada anak-anak muda berbakat dari Kelantan untuk menjadi artis rakaman.

Setakat ini seramai enam artis telah terpilih untuk diberi laluan mengembangkan bakat masing-masing ke dunia hiburan yang sebenar. Enam artis yang bertuah mendapat bimbingan Sweet Record terdiri daripada Dino Amir (lagu Kau Dustakan Cinta), Bob Hazzley (Sekali Lagi), Maliki (Rajuk Bidadari), Jamagic (Melodi Cinta) dan seorang artis remaja perempuan, Yaya. Masing-masing telah pun merakamkan single dengan pilihan lagu dan rentak yang dipilihnya sendiri.

Dari kiri depan: Roy, Didi (tengah) dan Dino. Berdiri dari kiri: Bob Hazzley, Maliki dan Jamagic.
Yaya

Apa yang membanggakan lagu-lagu artis naungan Sweet Record ini telah mula berkumandang dan diputarkan di radio-radio tempatan.

Kumpulan yang popular dengan lagu Dikir Rambung dan Rak Ter yang sememangnya sudah dikenali di pantai timur iaitu Kapilla, juga antara artis yang bernaung di bawah Sweet Record. Peminat Kapilla yang merindui suara lunak serak basah Roy selaku vokalis bakal terubat. Saat ini Sweet Record sedang menyiapkan dua buah lagu untuk Kapilla yang sekian lama menyepi. Kehilangannya hampir 15 tahun itu. tak lama lagi bakal menggegarkan pentas dan telinga peminat dengan lagu baru.

Menurut Pengarah Urusan Sweet Record Sumardi Muhammad atau Didi Kapilla, pemilihan artis ini adalah hasil pemantauannya sendiri. Bakat-bakat baru yang ada di negeri Kelantan sangat membanggakan, namun mereka memerlukan bimbingan dan peluang untuk melangkah lebih jauh.

“Sebagai anak jati kelahiran Kelantan, menjadi tanggung jawab saya untuk mengembangkan bakat-bakat besar yang ada pada artis-artis negeri ini bagi diperkenalkan ke peringkat yang lebih komersial.

“Sebuah album kompilasi yang memuatkan 10 buah lagu daripada artis-artis Sweet Record ini dijangka akan berada di pasaran pada bulan Oktober nanti,” ujar Didi.