Sule Menangis, Jadi Cerai Ke Tidak?

Sule dan isteri sudah lama tidak tinggal sebumbung.

PELAWAK terkenal Sule, baru-baru ini menggemparkan dunia hiburan Indonesia dengan berita isterinya, Lina telah mengemukakan permohonan cerai di Pengadilan Agama Cimahi.

Dalam alasannya, Lina mengungkapkan sepanjang 20 tahun perkahwinan, dia tidak pernah diajak berunding oleh suami dalam soal rumah tangga.

Lina kini tinggal bersama keluarganya di Bandung sedangkan Sule bersama empat anak mereka di kawasan Tambun, Bekasi. Lina mengemukakan permohonan cerai pada 20 April lepas.

Hingga saat ini baik Sule mahupun Lina tidak menjawab sebarang pertanyaan pengamal media mengenai proses perceraian, biarpun pernah terdengar khabar kononnya mereka tidak jadi bercerai.

“Tiada komen,’ ringkas jawapan daripada peguambela Lina, Andurrahman.  Anak sulung pasangan ini yang juga penyanyi, Rizky Febian juga tidak membuka mulut mengenai isu rumah tangga ibu bapanya ini.

Dalam satu program bual bicara, baru-baru ini, seorang tetamu jemputan membawa bubur pisang dan Sule lantas menangis apabila melihatnya.

Ternyata, bintang filem komedi Sule Detektif Tokek itu masih terkenang isteri yang sering memasak bubur pisang kegemarannya.

“Bubur pisang ini bikin saya sedih. Ngak mahulah makan, sedih banget,” kata Sule.