Sudah Sudahlah Pian…

BAYANGKAN kutukan dan kecaman melalui tulisan di atas dihambur kepada ibu kandung kita sendiri? Apa perasaan anda?

Tentulah rasa sakit hati, geram, sedih dan mengalir air mata bukan? Ibu itu syurga kita. Sanggupkah kita sebagai anak melihat ibu kita bersedih kerana kecaman tersebut?

Rasanya itulah perasaan sedang dihadapi Elfira Loy pada ketika ini apabila ibu kandungnya, Filzah Yusof menjadi bahan kecaman.

Netizen tergamak memuatnaik kritikan berbau hentaman, penghinaan dan kecaman yang kalau kita baca sekaligus menjatuhkan maruah dan darjat tinggi seorang ibu!

Media sosial semakin menggila! Segelintir netizen menggunakan kelebihan terbuka ini dengan tergamak memuatnaik komen-komen negatif yang ditulis tanpa berpaksikan akal fikiran sebagai manusia waras mahupun nilai-nilai peri kemanusiaan.

Inikah yang anda mahukan wahai Sufian Suhaimi? Apakah ini bukti kasih sayang peminat terhadap anda dengan menghambur kata-kata hina terhadap orang lain?

Sufian Suhaimi dan Elfira Loy bertunang pada 6 Oktober lalu, kemudiannya putus tunang Februari, baru-baru ini. 

Solusinya mudah sahaja, jika tidak dipanjangkan isu putus tunang, maka tiadalah timbul kata-kata penghinaan ini. Cuba bayangkan wahai Pian, andai kata-kata berbau penghinaan itu dihambur kepada ibu anda sendiri?

Sudah sudah lah tu Pian… Harap dapat nasihatkan para peminat anda. Elfira pun tak banyak beri komen fasal putus tunang. Benda dah lepas, buat apa nak dikenang-kenang. Sudah tiada jodoh kan?

Malahan, bapa Elfira sendiri pun meminta tidak dipanjangkan isu ini lagi. Rahsia Allah itu besar, tiada sesiapapun tahu.

Kalau Allah sudah tentukan jodoh seseorang itu, andai 10 tahun terpisah pun kalau ditakdirkan memang jodoh, pasti akan bersatu kembali.

Kalau tiada, maknanya Allah menyediakan hikmah lain di sebalik apa yang berlaku. Bukankah rahsia Allah itu besar…

MM: Sekadar berkongsi pandangan. Dunia seni kita ini kecil sahaja.