Sonam Kapoor Kahwin Di Mumbai, Bukan Switzerland

AWALNYA tersebar khabar bintang Bollywood  Sonam Kapoor, 33, bakal mengahwini kekasihnya, Anand Ahuja di Switzerland. Namun laporan terkini mengatakan pasangan itu bakal segera berkahwin di Mumbai bulan ini.

Ini adalah khabar perkahwinan bintang Bollywood sensasi selepas tersebar satu lagi berita perkahwinan pasangan terkenal Deepika Padukone dengan Ranveer Singh yang dijangka hujung tahun ini dalam majlis serba mewah.

Hubungan Sonam dengan Anand sudah berlangsung selama beberapa tahun. Dan mereka baru mengakui hubungan ini beberapa bulan lalu.

Majlis dijangka dilakukan di sebuah hotel terkemuka Mumbai dengan dihadiri barisan selebriti terkenal antaranya, Ranbir Kapoor, Kareena Kapoor, Deepika Padukone dan ramai lagi termasuk tenaga produksi filem.

Namun demikian, macam biasa bintang Bollywood ini belum membuka mulut berbicara dengan pihak media berhubung khabar tersebar.

Sonam merupakan anak kepada pasangan artis terkenal, aktor Anil Kapoor dan Sunita Kapoor. Beliau juga cucu pembikin filem Surinder Kapoor.

Sonam berkelulusan bidang Teater & Seni di World College Amerika Asia Tenggara di Singapura. Beliau merupakan Penolong Pengarah untuk Sanjay Leela Bhansali menerusi filem Black pada 2005.

Sonam Kapoor merupakan anak aktor terkenal, Anil Kapoor.

Sonam membuat kemunculan sulung dalam drama romantis Bhansali Saawariya (2007). Filem popularnya yang lain, Players (2012) bergandingan Abishek Bachchan.

Sonam melakonkan watak pekerja bank Mayera bersama Ayushmann Khurrana dan Rishi Kapoor dalam filem drama komedi Yash Raj Film, Bewakoofiyaan pada 2014.

Beliau seterusnya membintangi filem komedi romantis Khoobsurat, adaptasi daripada filem 1980 dengan judul sama.

Pada 2015, Sonam membawa watak pengantin perempuan yang lari setelah melarikan wang serta harta suaminya dalam filem Dolly Ki Doli, bergandingan dengan Pulkit Samrat, Rajkummar Rao dan Varun Sharma.