SISSY IMANN Akui Belum Popular

Sissy Imann pamer persembahan memukau juri dan penonton semasa konsert minggu pertama Big Stage. FOTO: ROHAIDA ZULKIFLI

PERSEMBAHAN konsert minggu pertama Big Stage pada Ahad, 5 Ogos lalu, yang menggunakan tagline Dominasi BBNU (Budak Budak Baru Nak Up), meletakkan Sissy Imann Mohammad Kamil, 22, di kedudukan pertama dengan mencatat sebanyak 90 peratusan markah.

Persembahan melalui lagu single pertamanya, Mungkin Kamu yang dikeluarkan pada 2014 mendapat komen positif daripada dua juri profesional, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir serta juri jemputan, Noh Salleh.

Kedudukan tersebut sekaligus menepati jangkaan beberapa petugas media serta penggemar muzik yang mengetahui kredibiliti penyanyi merangkap guru muzik ini.

Dalam perbualan dengan Mangga Media, baru-baru ini, Sissy mengakui sanggup melepaskan masa lima tahun tanpa tampil ke depan demi menghabiskan pengajian dalam bidang muzik.

Walaupun tiga lagunya, Mungkin Kamu, Keliru dan Jatuh menjadi lagu tema drama popular Eksperimen Cinta, Menantu Ting Tong serta Papa Nak Menantu, namun masih ramai peminat belum kenal dan tahu siapa itu Sissy Imann?

“Untuk pengetahun semua, sepanjang lima tahun ini saya tak pernah sertai mana-mana program realiti. Ini peluang untuk ke depan, dalam waktu yang sama untuk dikenali ramai.

“Walau ada yang kata saya ini kira penyanyi dah lama, tapi sebenarnya masih banyak lagi nak belajar… tentunya dengan adanya kelas vokal bersama Cikgu Ernie Zakri dalam Big Stage.

“Tempoh lima tahun itu pada saya belum benar-benar buatkan orang kenal saya… belum sampai tahap popular pun,” jelas Sissy.

Mengapa sanggup tunggu sampai lima tahun untuk benar-benar tampilkan diri secara serius dalam bidang nyanyian?

“Orang selalu tanya, tak rasa rugi ke tunggu sampai lima tahun untuk benar-benar ke depan? Saya rasa dah sampai masanya sekarang.

“Lima tahun lalu saya banyak fokus pada pengajian dan dengan ilmu yang sudah dalam tangan ini, lepas habis dapat ijazah dalam pendidikan muzik, saya tampil ke depan.

“Kebetulan, selepas habis belajar itu saya terus mengajar jadi guru muzik. Jadi dalam program ini saya mahu gunakan segala ilmu dan pengalaman yang ada,” ungkapnya yang menjadikan Datuk Sheila Majid dan Michael Buble sebagai idola.

Siapa Sissy Imann?

  • Bakat nyanyiannya dicungkil menerusi Youtube oleh komposer AG Coco.
  • Merupakan seorang guru muzik dan mengajar subjek muzik di sekolah rendah.
  • Bermain classical piano sejak usia lima tahun dan mula menjadi guru mengajar piano ketika usia 16 tahun.
  • Turut popular di media sosial dengan hashtag #sissydanpiano
  • Semakin dikenali selepas video cover lagu I Am Me menjadi tular.
  • Memenangi tiga pingat sewaktu menyertai 4th Bali International Choir Festival 2015 di bawah pimpinan Datuk Syafinaz Selamat.
  • Merupakan graduan Sarjana Pendidikan Muzik di Institut Pendidikan Guru Ilmu KHas (IPG).
Tiga lagunya, Mungkin Kamu, Keliru dan Jatuh lebih popular sebagai OST drama.