“Siapa Suruh Tenung Lama-lama, Kan Dah Jatuh Hati”

“ABANG Shah Aidil Khan, jangan tenung lama-lama, nanti jatuh hati… eh, dah jatuh hati kan? Siapa suruh tenung lama-lama,” begitu antara usikan manja Fasha Sandha terhadap Aidil Aziz.

Pasangan pelakon drama Qalbu dan sitkom Mamu Mami Gosip ini tampil mengenakan busana ala hindi semasa sama-sama menghadiri satu majlis di ibu kota pada Sabtu.

“Wajah awak lagi berseri daripada sari awak,” usikan balas daripada Aidil pula. Amboi… amboi… amboi…

Memuatnaik beberapa keping gambar beserta kapsyen berbau usikan manja, mendapat banyak respons positif daripada penggemar kedua-dua pelakon ini.

Rata-rata peminat mengatakan Fasha dan Aidil nampak sepadan. Bahkan ini bukan pertama kali ibu tunggal sepasang anak ini berkongsi gambar bersama Aidil di media sosial.

Jadi, apa sebenarnya hubungan antara Fasha dengan Aidil? Adakah teman tapi mesra? Tambahan pula Aidil merupakan anak saudara kepada rakan kongsi Fasha di syarikat penerbitan drama miliknya.

Sebelum ini, Fasha pernah memaklumkan sedang berkawan dengan seseorang namun identiti jejaka bertuah itu dirahsiakan.

Apa pun, kami di Mangga Media sentiasa mendoakan kejayaan dan kebahagiaan Fasha Sandha.

Fasha Sandha dan Aidil Aziz nampak sepadan.