“Si Dia Kena Tunggu”- KAKA

Kaka sedang berkawan dengan seorang lelaki bukan dari golongan seni

BIARPUN sebelum ini Kaka Azraff dikaitkan kononnya menjalin hubungan cinta diam-diam dengan seorang penyanyi serta ada juga gosip bersama seorang pemuzik berkumpulan, namun beliau mengakui masih berkawan dengan lelaki yang dulu.

“Ya, saya masih ingat pernah beritahu Mangga Media masa musim raya lepas, yang saya sedang berkawan dengan seseorang.

“Dah tiga tahun sebenarnya saya dengan yang dulu, orang yang sama. Cuma, untuk mengakui saya benar-benar bercinta dengan dia, itu belum lagilah.

“Tapi, buat masa ini memang dialah satu-satulah lelaki yang rapat. Siapakah dia itu pun belum boleh didedahkan lagi,” jelas Kaka kepada Mangga Media.

Pelantun single terbaharu berjudul Kembali ini bagaimanapun belum berhajat mendirikan rumah tangga.

“Umur 28 tahun saya rasa masih muda lagi. Banyak lagi impian dalam nyanyian serta lakonan belum tercapai.

“Keluarga pula tak adalah suruh kahwin cepat. Begitu juga kawan lelaki saya itu tak adalah mendesak bercinta dan berkahwin.

“Dia memahami fokus saya pada karier seni dan beri sokongan. Dia tahu masih banyak sasaran yang mahu saya kejar dalam karier.

“Lagipun kalaulah saya dan dia umum bercinta, rasanya tak adil bagi dia kerana saya takut tak dapat beri komitmen.

“Jadi, dia kena tunggu,” ujar Kaka lagi yang bergelar naib juara bersama Awi Rafael dalam pertandingan Duo Star di Astro Ria.