SHARNAAZ ‘down’ perginya wira negara yang terkorban

SELURUH negara amat bersedih dengan perginya enam wira, anggota Bomba Malaysia yang terkorban dalam operasi menyelamatkan seorang remaja mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam (17 tahun).

Mayat Muhammad Ilham Fahmy sudah ditemui petang semalam dan jenazahnya sudah selamat dikebumikan pada pukul 11.25 malam di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana, Puchong.

Semalam, enam jenazah wira negara anggota Bomba diberi penghormatan terakhir selepas solat jenazah di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam. Empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim (34), Izatul Akma Wan Ibrahim (32), Mazlan Omarbaki (25) dan Yahya Ali (24). Manakala dua lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Adnan Othman (33) dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari (25).

Enam wira negara yang gugur ketika bertugas…

Sementara itu pelakon popular Sharnaaz Ahmad menulis di akaun instagram miliknya, mengakui berasa amat ‘down‘ dengan tragedi ini. Tulisnya, “Saya pernah bekerja, bergurau, bergelak dengan mereka. Dan mereka adalah yang terbaik dalam unit di air Malaysia, mereka adalah unit elit khas dan kehilangan yang sangat terasa buat unit di air Bomba Malaysia.

Sharnaaz mengenali mereka dan pernah mendapat tunjuk ajar daripada mereka…

“Mereka sangat terlatih dan mahir dalam misi menyelamat… banyak kes mereka bersabung nyawa dan berjaya selamatkan. Tetapi kali ini mereka dijemput oleh Allah atas tugas mereka. Saya sangat terkesan dengan kehilangan unit di air Bomba Malaysia. Mereka telah gugur dan syahid ketika melakukan kebaikan. Semoga Allah luaskan kubur mereka, dan jadikan kematian ini syahid yang paling indah buat keenam-enam hero sebenar Malaysia. Jabatan Bomba dan Penyelamat telah kehilangan aset paling besar negara,” luah Sharnaaz.

Sharnaaz membalas komen seorang temannya memberitahu yang beliau pernah mendapat tunjuk ajar daripada keenam-enam anggota bomba ini. Sharnaaz mengaku, “…aku down gila (sangat tidak bersemangat) hari ini…”

Sama-samalah kita sedekahkan Alfatihan buat yang terkorban dan kembali ke Rahmatullah. Semoga Allah kurniakan ganjaran yang terbaik buat mereka.