Setelah Menang Anugerah, Sangeetha Masih Jadi Cikgu

Sangeetha Krishnasamy, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-29 dari filem Adiwiraku

DRAMA bersiri pendidikan Oh My English (OME) masih tetap mengangkat objektif utamanya iaitu bertindak sebagai salah satu platform pembelajaran penggunaan Bahasa Inggeris secara santai, berhibur sambil belajar, dengan matlamat akhir, penonton sedikit sebanyak mampu menguasai bahasa perantaraan ini dengan lebih baik.

Sesuatu yang menarik, dalam musim terbaharu OME menyaksikan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-29 dari filem Adiwiraku, Sangeetha Krishnasamy memegang watak Cikgu Lakshmi, sebagai Guru Drama.

Pengikut setia OME juga pasti teruja untuk melihat kemunculan Zack lakonan Juzzthin pada musim ini kerana dalam musim terdahulu, Zack merupakan pelajar di sekolah tersebut dan kini kembali sebagai guru sandaran, dengan menyarung jersi Guru Muzik.

Sama juga dengan Jojie, lakonan Nadiya Nisaa, beliau kembali ke sekolah sebagai Cikgu Jojie yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani (PE).

See Yew Soon lakonan Roax Tan juga kembali membuat penampilan istimewa dengan membawa watak sebagai abang salah seorang pelajar baharu, See Mi Nau.

OME musim ini bakal menyaksikan sekolah yang cukup terkenal dalam kalangan penonton setia rancangan ini, SMK Ayer Dalam, kembali riuh rendah dengan kehadiran barisan pelajar dan beberapa orang guru baharu.

Rancangan sitkom edutainment yang memfokuskan pada pembelajaran Bahasa Inggeris secara santai ini akan memulakan tayangannya, ‘Oh My English! – Level Up’, di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak dalam definisi tinggi di Astro Maya HD (saluran 135) pada setiap hari Ahad mulai 1 Oktober pukul 6.30 petang.

Penonton juga boleh memilih untuk menonton secara percuma menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Dengan jumlah keseluruhan sebanyak 26 episod, durasi 15 minit yang diperuntukkan bagi setiap episod ‘Oh My English! – Level Up’ akan dipadatkan dengan dialog dan gelagat lucu para pelajar baharu kelas 3 Merah.

Barisan pelakon utama Oh My English musim baharu

Antara yang menarik adalah kelainan yang disuntik pada watak utama guru baharu iaitu Mr. James Blond lakonan Mark O’Dea yang bertanggungjawab mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Beliau mempunyai perwatakan yang berbeza dengan guru Bahasa Inggeris pada musim sudah iaitu Mr. Henry Middleton lakonan Zain Saidin. Mr. James Blond seorang yang kelam kabut dan bersahaja.

Pada masa yang sama, beliau cuba untuk menawan hati para pelajar namun niat beliau sering disalah anggap dan mengundang padah pada diri sendiri.

Barisan pelajar yang akan menggamatkan kelas 3 Merah pada musim ini ialah Ronaldo (Fimie Don) seorang Ketua Kelas yang sentiasa mahukan kelas 3 Merah menjadi kelas terbaik di SMK Ayer Dalam, Danial (Harris Alif), seorang pelajar macho yang bercita-cita untuk menjadi pemain muzik, Sam (Timothy Deeran) seorang pemain permainan video tegar yang pendiam, Amelia (Yuna Rahim) seorang pelajar bijak tetapi sering gagal dalam peperiksaan dengan sengaja.

Sangeetha Krishnasamy pelakon baharu yang semakin menjadi tumpuan

Watak-watak guru lain seperti dalam musim-musim sudah yang masih dikekalkan termasuklah Pengetua sekolah, Puan Hajar (Adibah Noor), guru Matematik; Miss Soo (Carmen Soo) dan Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad).

Turut menyertai barisan guru yang sedia ada ini adalah Encik Yusof, lakonan Tauke Raja Lawak yang bertindak sebagai Penolong Pengetua.

Oh My English- Level Up lebih menarik dengan pelbagai gelagat guru dan pelajar baharu