Setahun Bercinta, Miller Khan Belum Ada Target Nikah

Miller Khan dan kekasih, Nathalie Stephens.

PELAKON asal Malaysia yang sudah lebih sedekad membina nama di Indonesia, Miller Khan sangat terbuka menceritakan sudah setahun bercinta dengan Nathalie Stephens.

Teman wanitanya asal Vietnam itu dikenali menerusi media sosial. Sudah setahun menjalin asmara, namun abang kepada pelakon Isa Khan dan Farali Khan ini masih belum punya target menamatkan zaman bujang.

“Sebenarnya saya tak berapa suka nak letak sasaran tarikh tertentu untuk berkahwin. Sebab kalau rancang begitu, takut nanti tak menjadi.

“Lagipun baru setahun jalin hubungan. Kami pun masih muda,” ungkap Miller kepada pihak media ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem terbaharunya, InsyaAllah Sah 2 di Jakarta, baru-baru ini.

Hakikatnya, Miller lama jomblo (tanpa kekasih) sebelum bertemu buah hatinya sekarang.

“Sebulan chatting di medsos (media sosial), saya malas nak fikir panjang, ajak dia jalin hubungan lebih serius. Dah rasa ada kesesuaian dan keserasian.

“Sekarang, hidup saya ceria dengan adanya buah hati, tak adalah sepi macam sebelum ini,” katanya yang juga berulang alik antara Jakarta- Kuala Lumpur untuk penggambaran filem terbaharu keluaran produksi Malaysia.

Miller Khan sudah 12 tahun bermastautin di Jakarta.