“Sesekali Nak Romantis, Apa Salahnya”

Remy Ishak, antara pelakon lelaki tempatan yang berada dalam senarai gred A. FOTO: NOREEZA HASHIM

 

“KITA ini hidup, semakin lama makin matang. Kalau boleh saya tak naklah buat benda-benda yang pernah dibuat semasa awal-awal kemunculan dalam seni dulu, contohnya melakonkan babak cinta dan romantis.

“Tetapi sekali sekala apa salahnya,” kata pemilik nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak, 36, yang mulai dikenali ramai sejak membintangi filem Anak Halal pada 2007. Filem popular lain antaranya, Nur Kasih The Movie, Jiwa Taiko dan Cun. 

Sebagai pelakon senior yang sudah berpengalaman dalam pelbagai genre filem mahupun drama, beliau mahukan sesuatu yang berbeza pula.

Begitu juga dengan lawan lakon, tak kiralah lama atau baharu, haruslah sama-sama memberi komitmen pada watak.

“Kadang-kadang rasa penat berlakon dengan pelakon-pelakon baharu yang tidak buat kajian mahupun persediaan sebelum masuk ke set penggambaran.

“Sebab ada di antara mereka tiada ilmu dan pengalaman tetapi inilah dikatakan bisnes industri seni. Saya tak kisah pun kalau pelakon-pelakon baharu hanya ‘buat hal sendiri’ di set sebab saya percaya setiap orang ada skil masing-masing.

“Saya tak rasa rugi apa-apapun kalau mereka tidak mahu datang dekat bertanyakan tip atau apa sahaja perkongsian lakonan.

“Sudah tentu, dalam setiap tanggungjawab, saya persembahkan lakonan seperti dikehendaki pengaran. Tetapi, kerja kita ini adalah kerja berpasukan.

“Saya akan rasa kecewa kalau pelakon-pelakon lain juga tidak mampu persembahkan kualiti lakonan seperti yang diharapkan,” tegas Remy.

Penampilan wajah Remy Ishak untuk karakter Farid di dalam drama bersiri Dosa yang bakal memulakan tayangan di Astro First Eksklusif, 14 Februari ini

Sebagai pelakon berpengalaman, beliau telah memberi kualiti lakonan terbaik dan berbeza melalui karakter Farid di dalam drama bersiri lapan episod, Dosa.

Naskhah terbitan kerjasama Arie Zaharie Productions dengan Capitol Entertainment Indonesia itu bakal memulakan tayangan di Astro First Eksklusif, 14 Februari ini.

Dosa gabungan pelakon dari tiga negara nusantara, Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ia dibarisi, Datuk M. Nasir, Roy Marten, Ashraf Sinclair, Hisyam Hamid, Reuben Elishama, Shenty Feliziana, Daniella Sya, Maudy Koesnadi, Hannal Al Rashid dan ramai lagi.

Remy ada satu filem baharu yang bakal ditayangkan, berjudul Pulang di samping dua filem lain yang dalam proses penggambaran, The Legend Of Pontianak serta Proxy