Senyum, Beautiful, Kini Aziz Harun Kata Jangan

 

PENYANYI kelahiran Brunei yang mencipta nama di Malaysia, Aziz Harun mula terlibat secara aktif dalam industri muzik setelah menjuarai pertandingan Bintang Kecil pada 2009.

Anak muda ini mula menceburi bidang seni seawal umur enam tahun. Pada tahun 2014, Aziz Harun telah melancarkan single pertamanya berjudul Senyum dan pada tahun 2015 pula, beliau telah melancarkan single kedua yang berjudul Beautiful.

Kedua-dua lagu tersebut mendapat sambutan yang hangat dari peminat beliau dan Aziz juga telah memenangi anugerah bagi Lagu Kolaborasi Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2016 untuk lagu Beautiful.

Selepas kejayaan untuk kedua-dua lagu tersebut, pada Ogos lepas, Aziz telah muncul dengan single ketiga berjudul Mama iaitu kolaborasi bersama Elizabeth Tan.

Mama menjadi lebih istimewa apabila lagu ini dicipta khas untuk para ibu di seluruh dunia. Lagu Mama mempunyai nilai sentimental yang istimewa buat diri Aziz, kerana lagu itu didedikasikan khas untuk ibunya yang telah banyak membantu bukan sahaja dalam kerjaya seninya tetapi di dalam kehidupannya semenjak dari kecil.

Kini, Aziz Harun muncul dengan single keempat, Jangan. Lagu ini dipertaruhkan sebagai buah tangan baru bagi Aziz Harun selepas kejayaan ketiga-tiga single beliau yang sebelum ini.

Jangan merupakan sebuah cetusan melodi pop yang santai serta gubahan muziknya yang mampu mengajak para pendengar untuk turut menyanyi bersama.

Berentakkan tempo yang catchy dan jazzy membuatkan pendengar juga senang untuk menerima lagu ini.

Lagu yang dihasilkan oleh Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan, dan Romeo ini juga baru sahaja memuat naik muzik video rasmi di laman YouTube Faithful Music sejak 21 September lalu dan telah mendapat hampir 300 ribu tontonan dalam masa dua minggu sahaja.

Pembikinan muzik video bagi lagu ini juga telah dirakamkan di Brunei. Lagu ini juga menjadi OST bagi drama 16 episod Awak Suka Saya Tak?

Teristimewa buat peminat Aziz Harun lagu Jangan edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun disemua digital platform seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder Music dan KKBox.