Sentuh Isu Zina… JAA SUZURAN Minta Maaf

Sempena tahun baharu, Jaa Suzuran memohon maaf jika masih ada yang terkilan dengan percakapannya dalam sebuah video dua bulan lalu

Lumrah kita sebagai manusia biasa tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna kan?

Begitulah juga selebriti kacak bertubuh sedap Jaa Suzuran yang meminta maaf kepada semua yang terkesan atau terkilan dengan kata-katanya dalam sebuah video di instagram dan YouTube sekitar awal November 2018.

Dalam video tersebut, Jaa ada meluahkan rasa sedap apabila mencuba menu Burger Durian Butter. Katanya, burger tersebut sedap seperti ‘berzina’.

Walaupun video ini sudah dua bulan menjadi bualan netizen, ia seolah-olah tiada berkesudahan apabila masih ada yang bercakap tentang itu.

Cerita Jaa kepada MANGGA, “saya minta maaf jika ada yang marah, terkesan atau terkilan dengan kata-kata saya itu. Saya tidak langsung berniat untuk menggalakkan orang berzina kerana semua sudah maklum perbuatan tersebut memang haram dan berdosa besar.

“Apa-apa pun saya akui itu salah saya dan saya minta maaf sekali lagi kerana tidak menjaga percakapan di media sosial.

” Percayalah.. Saya tidak ada maksud lain, cuma perumpamaan yang saya berikan untuk menggambarkan kesedapan makanan tersebut adalah salah.

“Dalam masa yang sama, kadang-kadang saya lupa saya seorang selebriti dan apa yang disampaikan pasti menjadi perhatian atau bualan.

“Sebab sebelum dikenali, saya biasa cakap ‘lepas’ dan tiada orang kecam pun. Kawan-kawan rapat pun tahu cara saya ni yang suka bergurau.

Jaa akui salahnya dan akan lebih berhati-hati selepas ini. Baguslah tu, Jaa belajar daripada kesilapan lalu.

“Sebagai pengajaran, selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam menjaga percakapan dan bijak menggunakan perkataan yang sesuai memandangkan orang ramai mula ambil tahu apa yang saya sampaikan.”

Luah Jaa Suzuran yang memohon maaf kepada semua atas kesilapan tidak sengajanya itu. MANGGA faham, sebagai manusia biasa, Kadang-kadang memang kita tersalah cakap.

Cuma Jaa Suzuran ini seorang selebriti, jadi kesilapan yang dilakukan menjadi tular di kalangan netizen.

Tak apalah, sempena tahun baru ini kita tutup buku lama, buka buku baharu ya!

Selain itu, Jaa Suzuran atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, 24, juga antara insta famous atau selebriti media sosial yang terlibat The Amazing Sunway City Challenge.

Selain mahu mengharumkan nama negara di peringkat Asia, Jaa juga mahu mengekalkan popularitinya sebagai penyampai radio, pengacara, pelakon dan ikon media sosial melalui pertandingan tersebut.

Selain Jaa Suzuran yang mewakili Malaysia, para insta famous lain yang terlibat sebagai peserta adalah Medyo Maldito (Filipina), RJ Abhinav (India), Michelle Joan (Indonesia), Matthew Stewart (Singapura), Ironbull (Taiwan), SorDor Style (Thailand), Gong Yi (China), Hong Young Gee (Korea Selatan) dan Hadia  Ghaleb (Mesir).

Selebriti media sosial yang memiliki seramai 25 juta pengikut secara keseluruhan ini akan bertanding dalam aktiviti di sekitar lokasi utama Sunway City  untuk memenangi mata Sunway Pals bernilai RM25, 000 dan sebuah telefon pintar Samsung Galaxy Note 9.

Peminat boleh mengikuti gelagat para peserta melalui empat episod web yang akan ditayangkan pada Februari 2019. Program ini akan ditayangkan di laman Web rasmi SAYS.com, IDN Times, ET today, Line.tv, LUVE, serta platform  rasmi media sosial Sunway City dan WebTVAsia.

Pasal lakonan, Jaa akan muncul dalam filem Autumn In Wales terbitan Pencil Pictures bersama pelakon Eyka Farhana.