“Sayang Banget Sama Dia, Sampai Bila-bila Pun”- Baim Wong Dalami Agama Setelah Putus Cinta

Hasrat Baim Wong mengahwini kekasihnya Vebby Palwinta tidak kesampaian

DI usia yang bakal menginjak 37 tahun, Baim Wong tidak mahu berlama-lama dalam bercinta. Namun kesedihan buat kesekian kali bersarang di hati apabila hubungan cinta dengan pelakon sinetron, Vebby Palwinta akhirnya kandas di tengah jalan!

Hasrat dan perancangan mengahwini gadis berusia 15 tahun lebih muda daripadanya itu tidak kesampaian. Baim Wong putus cinta entah yang ke berapa kali!

“Ngak usahlah ditanya kenapa putus. Masalah ini ibarat kerikil tajam. Saya sayang banget sama dia, sampai bila-bilapun. Saya cakap dari hati yang jujur.

“Saya semenjak itu (putus cinta), suka menonton siaran agama di Youtube dan juga membaca buku-buku agama.

“Dari situlah, saya belajar ikhlas perihal jodoh. Sebab, Allah SWT sudah menggariskan setiap jodoh seseorang, bila waktunya dan dengan siapa pasangannya nanti.

“Jadi, saya harus reda dengan ketentuan ini dan santai sahajalah berusaha mencari jodoh,” jelas Baim yang ditemui wartawan di restoran miliknya yang menyediakan pelbagai aneka mi, Bakmi Wong di kawasan Bendungan Hilir atau popular disebut Benhil dekat Tanah Abang, Jakarta Pusat.

Putus cinta dari Baim Wong, Vebby Palwinta ubah penampilan dengan berhijab

Bekas kekasihnya, Vebby juga sudah berpenampilan baharu dengan berhijab sempena Tahun Baharu 2018.

Untuk mendapatkan pasangan hidup yang baik, turut mengubah jati diri pemilik nama sebenar Muhammad Ibrahim ini berusaha menjadi manusia lebih baik.

“Kalau jodoh itu lambat, santai sajalah, usah takut. Semuanya Allah sudah aturkan, kita jalani sahaja sambil tidak putus asa berusaha.

“Saya yakin, sampai waktunya nanti jodoh itu pasti datang,” ujar Baim yang sebelum ini turut pernah dikaitkan dengan aktres Malaysia, Elfira Loy.

Apa cerita perkembangan perkahwinan El dengan Sufian Suhaimi yang dirancang Mac depan, sempena sambutan ulang tahun hari lahir El?

Baim Wong aktif mengembangkan bisnes kuliner dengan membuka rangkaian kedai aneka mi, diberi nama Bakmi Wong