“Saya Tak Boleh Jadi Maya Karin”- HANNAH DELISHA

Hannah Delisha pelakon asal Singapura yang mulai dikenali menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer. FOTO: HELMI WONG

BERLAKON sebagai langsuir bernama Suri dalam filem judul sama arahan Osman Ali bergandingan dengan Syafiq Kyle, pelakon muda dari Singapura, Hannah Delisha, 22, ditanya apakah mahu ‘caras’ dan sekaligus mengambil takhta ‘hantu cantik’ dari aktres hebat, Maya Karin?

Kedua-duanya menjadi ‘hantu cantik’, bahkan berdarah kacukan pula. Maya Karin bapanya dari Jerman manakala Hannah atau Hannah Adlina Blackburne Birch kacukan Melayu Singapura dan Inggeris, lahir pada 27 Oktober 1996.

“Oh tidak sama sekali… sudah tentu Maya Karin adalah one & only, tiada sesiapa boleh menggantikan dia. Lagipun dia idola saya. Siapalah saya untuk menggantikan tempat dia.

“Saya tak boleh jadi Maya Karin. Lakonan dia adalah inspirasi saya. Dapat peluang memainkan watak hantu, saya bersyukur diberi kepercayaan.

“Saya pelakon baharu, masih muda dan banyak perlu belajar. Selalu mahu jadi yang terbaik.

“Tidak dinafikan, sebelum mask set filem Langsuir, saya ada tonton filem Pontianak Harum Sundal Malam.

“Ada persamaan watak saya sebagai Suri dengan Meriam (Maya Karin), iaitu hantu tetapi menjelmamenyerupai seorang manusia,” jelas Hannah kepada Mangga Media sewaktu ditemui dalam satu majlis berbuka puasa di ibu kota, baru-baru ini.

Lakonan terbaharu pelakon cantik dari Singapura ini boleh dilihat dalam filem televisyen The Hantus di saluran Astro First Eksklusif, terbitan pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad dari KMN Productions.

Selepas musim raya ini, beliau kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri My Full House, yang bakal disiarkan di Astro Ria. Siri ini adaptasi dari sebuah drama popular Korea, juga memakai judul Full House.