“Saya Dah Move On, Tak Mahu Fikir Benda Negatif”- SYAFIQ KYLE Tak Risau Kontroversi Video Panas!

SEKITAR dua bulan lepas, nama aktor Syafiq Kyle terheret kontroversi sebuah video panas. Namun, pelakon drama Dekatkan Jarak Kita itu banyak mengambil langkah berdiam diri, tidak mahu terlalu memperbesarkannya.

Kontroveri panas itu bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan kariernya. Bahkan, hujung bulan ini beliau bakal terbang ke kota London untuk sebuah drama arahan Erma Fatima berjudul Karma Cinta.

Malahan, filem sulungnya, Langsuir bergandingan dengan Hannah Delisha bakal beredar di seluruh pawagam tempatan tidak lama lagi.

“Saya nervous sebenarnya menanti maklum balas terhadap filem sulung ini. Tetapi saya cuba tenangkan diri, nak tengok hasilnya macam mana.

“Saya yakin peminat sekarang semakin bijak, matang dan tahu menilai. Jadi, saya tidaklah risau fasal kontroversi sebelum ini hingga takut peminat tak mahu datang pawagam sokong filem saya.

“Lagipun, saya banyak belajar daripada kontroversi itu. Sampai sekarang saya banyak terima sokongan positif.

“Yang penting keluarga tahu perkara sebenar dan tahu diri saya. Saya juga sudah move on dan tidak lagi memikirkan kontroversi.

“Benda-benda negatif saya mahu lupakan, ingin lebih maju ke depan. Syukurlah, karier lakonan semakin terurus baik.

“Rezeki Allah tidak pernah putus walau timbul kontroversi sebelum ini. Semasa bekerja, saya buatlah betul-betul.

“Bila terima tawaran, kalau tak boleh buat, saya cakap terus-terang. Saya tidak demanding dan cuba buat baik dengan semua orang,” ujar Syafiq dalam satu pertemuan dengan Mangga Media semasa menghadiri majlis jamuan Hari Raya Jabatan Pengarang, Kumpulan Utusan di Jalan Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.