“Saya Bukan Penipu”- Haqiem Rusli Mengaku Mild Depression, Dibawa Jumpa Pakar Psikiatri

Haqiem Rusli menangis. FOTO: IZWAN ZAINAL

BELUM berjumpa doktor pakar namun penyanyi lagu Tergantung Sepi, Haqiem Rusli, 20, terang-terangan mengakui mengalami mild depression (kemurungan ringan).

Bagaimana Haqiem boleh berkata sedemikian sedangkan masih belum mendapat pengesahan doktor?

Bertubi-tubi hentaman mengakibatkan penyanyi Haqiem Rusli meminta maaf secara terbuka dalam satu sidang media dianjurkan syarikat rakamannya Fantasia Music City (FMC) di sebuah bistro terkenal di Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis malam.

“Saya minta maaf… saya memang rasa ada  mild depression lantaran alami insomia, berat badan tak stabil, tidur tak cukup, kerja melambak serta kecaman daripada netizen sejak awal menyanyi.

Haqiem Rusli minta maaf kepada Ernie Zakri dan Wany Hasrita.

“Esok baharulah saya dibawa berjumpa pakar psikiatri bagi menentukan apakah benar saya alami depresi.

“Saya juga meminta maaf kepada rakan artis, Ernie Zakri, Wany Hasrita serta semua yang terlibat dalam permasalahan ini.

“Saya tidak berniat menggunakan sesiapa. Sejujurnya ini bukan gimik. Saya bukan penipu, saya benar-benar minta maaf.

“Ini satu pengajaran buat saya,” jelas Haqiem yang juga tidak dapat menahan tangisan.

Penyanyi remaja yang sudah mengaut lebih tiga juta tontonan melalui single terbaharu, Selamat Tinggal Sayang itu juga meminta maaf kepada pihak media mewakili kelab peminatnya kerana memuatnaik komen kasar.

Sekitar sebulan lalu, Haqiem mengakui mengalami kemurungan lantas mengambil keputusan bersara.

Namun, baru-baru ini setelah muncul dalam satu program di sebuah stesen radio swasta yang turut disertai Ernie Zakri, Haqiem menarik semula hasrat bersara seiring teaser single terbaharunya itu.

Ernie yang tidak tahu menahu tujuan sebenar Haqiem dalam program radio tersebut, berasa terkilan kerana menganggap dirinya diperbodoh-bodohkan.

“Kemurungan bukan perkara main-main, bukan untuk dibuat lawak. Kemurungan boleh membunuh.

“Kalau betul-betul sakit, pergi jumpa doktor dan jalani pemeriksaan. Bukannya sengaja nak buat gimik melariskan lagu.

“Saya memang marah,” tegas Ernie yang juga guru vokal Haqiem.