Sarah, Shuib Tunai Umrah

Shuib bersama ibunya dan isteri, Siti Sarah Raissuddin yang sudah mengenakan burqa berangkat menunaikan umrah di Mekah hari ini, Isnin, 14 Mei.

PASANGAN suami isteri popular, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah Raissuddin berangkat menunaikan umrah di Mekah hari ini.

Turut serta ke kota suci itu ialah ibu Shuib. Dalam perkongsian di akaun Instagram sebentar tadi, Shuib turut memuatnaik gambar mereka bertiga di hadapan kaunter masuk di KLIA.

Dalam gambar tersebut, kelihatan Siti Sarah sudah mengenakan burqa, seperti yang sering dipakai oleh Rozita Che Wan setiap kali menunaikan umrah.

“Assalamualaikum…  Saya, isteri dan ibu mohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan, tutur kata, perbuatan atau apa saja khilaf kami.

“Halalkan yang termakan, terminum juga doakan kami agar perjalanan umrah berjalan lancar dengan baik dan mendapat umrah yang mabrur. Semoga kita sama-sama diberkati Allah SWT,” ujar Shuib.

Siti Sarah turut memuatnaik kapsyen iaitu,”Sekiranya ada perbuatan kami yang menyinggung perasaan sama ada sengaja atau tidak sengaja kami lakukan, saya dan suami ingin memohon maaf kepada semua yang mengenali kami.

“Terutama keluarga, saudara mara, jiran tetangga, sahabat, rakan sekerja, bos, pekerja, penyokong dan semua yang mengenali kami,” kata Sarah.

Semoga Sarah bersama suami, Shuib dan ibunya dipermudahkan urusan serta mendapat umrah yang mabrur.