“Sampai Sekarang Saya Tak Kaya-kaya”- REMY ISHAK

Remy Ishak mahu bina profile karier di Jakarta

AKTOR Remy Ishak masih memegang prinsip untuk tidak tamak mengambil banyak tawaran berlakon dalam satu masa bagi mengelakkan hilang fokus.

Ketika ini, bintang filem Kau Takdirku, Cun dan Anak Halal ini sedang berada di Jakarta, Indonesia bagi menyelesaikan penggambaran mini siri lapan episod berjudul Dosa.

Di dalam Dosa, arahan sutradara terkenal Indonesia, Ifa Isfansyah, Remy memegang watak Farid Latif.

“Berlakon mini siri ini peluang berharga buat saya kerana bekerjasama dengan ramai pelakon hebat tiga negara nusantara, di bawah arahan pengarah yang bukan calang-calang.

“Jadi, saya tak ambil job lain. Memang sejak dulu saya tak suka tamak ambil banyak job dalam satu masa.

“Sebab itulah sampai sekarang saya tak kaya-kaya. Kerana saya tak mahu hilang fokus. Apatah lagi Dosa ini naskhah berat yang memerlukan perhatian serta komitmen padu.

“Alhamdulillah, prinsip saya ini membuatkan sehingga hari ini saya terus diberi kepercayaan oleh pengarah dan penerbit,” terang Remy kepada Mangga Media yang berada di Jakarta baru-baru ini.

Remy Ishak kuruskan badan demi watak aksi

Meski prinsipnya itu adakala tidak berbaloi dari segi kewangan namun Remy tetap puas.

“Kalau nak kira dari segi wang memang tak berbaloi tetapi untuk ‘makanan jiwa’ ianya beri kepuasan.

“Lagipun saya pandang ini pintu rezeki lain untuk cuba membina profile karier di Jakarta,” ujarnya.

Demi karakter Farid yang melibatkan banyak adegan pertarungan, Remy berkorban dengan tidak menyentuh nasi serta makanan berkarbohidrat lain.

“Dua bulan setelah ditawarkan watak ini saya dah mula kurang makan nasi. Cuma apabila melibatkan banyak babak pertarungan, saya harus ambil sedikit karbohidrat untuk mendapatkan tenaga serta stamina.

“Lagipun saya memang mahu menguruskan badan. Berat sekarang 72 kilogram dan saya perlu kurangkan lagi 2 kilogram bagi mendapatkan berat badan ideal.

“Cuma masalahnya, saya harus cuba berkorban rasa terhadap masakan nasi padang. Sebab kalau hari-hari makan nasi padang di sini memang bertambah naiklah berat badan,” seloroh Remy.

Salah satu adegan mini siri Dosa melibatkan watak lakonan Remy Ishak dengan Hisyam Hamid dan Ashraf Sinclair