Sakit Kelenjar & Ketumbuhan Di Leher, Nassier Wahab 2 Bulan Hilang Suara

Nassier Wahab menunjukkan kesan jahitan pembedahan pada leher sebelah kiri membuang ketumbuhan akibat jangkitan kuman selepas melakukan pembedahan gigi.

DUA hari lepas, penyanyi Datuk Nassier Wahab ada berkongsi khabar baru selesai menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan ibu kota.

Pagi ini menerusi akaun Instagram, pelantun lagu hit Sekali Aku Jatuh Cinta dan Memori Cinta Luka itu mendedahkan rahsia dua bulan hilang suara!

“Sesungguhnya apa yang berlaku pada diri kita semuanya sudah dirancang Allah. Selama dua bulan saya menanggung sakit kelenjar dan ketumbuhan di leher kiri.

“Saya mengadu kepada Allah mengapa saya diuji sedemikian rupa? Setiap kali berhadapan peminat dan masyarakat saya rasa terlalu rendah diri,” katanya.

Beliau reda diuji dengan kesakitan itu meski selama bergelar artis ramai peminat bertanyakan petua menjaga kesihatan serta rupa paras yang awet muda di usia 50-an.

“Namun Allah menguji saya dengan mengalami ketumbuhan pada leher dan mengakibatkan kehilangan suara selama dua bulan berpunca selepas pembedahan gigi.

“Jangkitan kuman membuatkan ketumbuhan pada kelenjar dan leher semakin membesar.

“Sepanjang tempoh itu juga saya berdoa dan mengadu kepada Allah dengan menangis sedangkan selama ini jarang pula saya menangis bila berdoa kepada Allah.

“Itulah hikmah yang dapat saya rasai,” luah Nassier lagi. Beliau kini sedang berehat bagi mendapatkan kesembuhan sepenuhnya.

Kepada semua pembaca Mangga Media, marilah kita mendoakan beliau segera pulih.