Sajian menarik khas Deepavali 2018

SEMPENA meraikan kemeriahan Deepavali di seluruh negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyajikan penonton dengan konsert dan filem terbaik yang dipilih khas untuk menghiburkan penonton setia melalui saluran TV2.

Antara artis popular yang bakal menghiburkan program terbitan Unit Hiburan TV RTM ini termasuklah Santesh, Viveck Ji & Nithian, Mathanakumar, Thanner Narayanan, Shamini, Roshini Balachandran, Naarayanai Balasubramaniam, Shahtan Kurup, Reena Nicky, Caca, Sathia dan Angeline Tan.

Menampilkan gandingan pengacara pelakon cantik Raja Ilya dan juruhebah MINNALfm, DJ Hari, saksikan muzikal “Amarkala Deepavali 2018” pada 5 November ini, pukul 9.30 malam.

Filem Soodhu Kavvum.

Menambah kemeriahan sambutan perayaan ini tayangan empat filem pelbagai genre tontonan khas seisi keluarga bermula dengan filem “Soodhu Kavvum” pada 6 November, pukul 2.00 petang dan sebelah malamnya filem “Theri”, pukul 9.30 malam. Manakala keesokan hari, 7 November, pukul 9.30 malam siaran filem “Tanu Weds Manu Returns” dan filem “Estet” pada 10 November, pukul 10.30 malam.

Bergelak ketawa dengan filem komedi “Soodhu Kavvum” mengangkat kisah tentang empat orang lelaki yang menjalankan aktiviti penculikan secara kecil-kecilan. Mereka kemudiannya memutuskan untuk menculik anak seorang wakil rakyat tetapi didapati anaknya sendiri bersubahat dengan mereka untuk menuntut wang tebusan. Antara pelakon yang menjayakan filem ini, Yog Japee, Bobby Simha, Vijay Sethupathi, Karunakaran dan Sanchita Shetty.

Filem Theri.

Dalam filem aksi Tamil bertajuk “Theri” yang dibintangi oleh Vijay, Samantha Ruth Prabhu dan Amy Jackson, yang mengisahkan tentang watak Vijay, ketua polis daerah yang sangat berdedikasi dalam kerjayanya. Beliau menjalankan tugas dengan penuh amanah walaupun terpaksa menyelesaikan kes-kes jenayah berat yang sentiasa menguji kesabarannya.

Filem Tanu Weds Manu Returns lakonan Kangana Ranaut.

Santai menyaksikan filem “Tanu Weds Manu Returns” berkaitan usaha seorang wanita untuk berbaik semula dengan bekas suaminya apabila mendapat berita bahawa beliau sedang berhasrat untuk berkahwin semula. Menjelang hari perkahwinan itu, suaminya insaf bahawa dia masih mencintai bekas isterinya dan mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan perkahwinan dan berbaik semula dengan bekas isteri. Namun adakah bekas isteri sedia menerimanya semula? Filem ini dilakonkan Kangana Ranaut, Deepak Dobriyal, Eijaz Khan, R.Mashavan dan Jimmy Shergill.

Filem Estet.

Diakhiri dengan kisah kehidupan di estet Cintamanis di mana pasukan bola sepak mereka menjadi taruhan kepada kerani estet yang jahat. Mereka gigih berlatih dan terpaksa menentang konco-konco kerani estet. Demi memastikan kemenangan pasukan mereka yang menentang pasukan dari estet sebelah yang bersekongkol dengan kerani estet. Akhirnya selepas semua halangan dapat diatasi, mereka menang dan pihak yang jahat dapat ditumpaskan. Plot cerita ini boleh diikuti dalam filem “Estet” arahan Mamat Khalid lakonan Sashi Tharan, Farid Kamil, K. S. Maniam, Jasmine Michael dan Kamarul Haji Yusoff.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.