Saingan Sengit Aktres Terbaik FFM, Diana Dahlan vs Sakinah, Tapi Jangan Lupa Kak Limah!

SEWAKTU menyaksikan tayangan filem Dukun pada April tahun ini selepas enam tahun terperap, ramai mengatakan pemegang watak utama dukun Diana Dahlan (DD) oleh Datin Seri Umie Aida, 45, bakal membawa pulang trofi Aktres Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-30 akan datang (FFM).

Tetapi, setelah melihat lakonan yang dikatakan ‘meremang bulu roma’ oleh watak Sakinah lakonan Maya Karin, 39, dalam filem Munafik 2, orang kata beliau pula bakal bergelar best actress!

Malam Gala Munafik 2 arahan ke-10 Syamsul Yusof telah diadakan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada Isnin malam. Filem ke-40 terbitan Skop Productions itu ditayangkan sekitar 140 pawagam seluruh Malaysia bermula esok Khamis, 30 Ogos.

Antara adegan DD dalam Dukun yang diingat penonton ialah menjilat dinding penjara. Tak kurang hebat, watak Sakinah yang dirasuk jin Yahudi pula ada babak menjilat lantai.

Kalau DD seorang dukun yang mengamal sihir ilmu Batak di dalam penjara dan memakan janin sebagai antara amalan untuk kekal cantik, muda dan kebal, Sakinah pula melalui fasa seram dengan dirasuk jin Yahudi.

Maya Karin dikatakan masih kekal dengan takhta ‘Ratu Filem Seram’ yang tiada tandingan selepas dua versi filem Pontianak Harum Sundal Malam.

Namun demikian, di antara watak DD dengan Sakinah itu, kalian jangan pula lupa pada Kak Limah, watak lakonan pelakon veteran berusia 60 tahun yang mahu namanya dieja betul iaitu Dalimawati Ismail, bukannya Delimawati.

Setuju atau tidak jika dikatakan, Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah memberikan satu bentuk lakonan bersahaja meski tidak banyak dialog. Cara pandangan dengan senyuman dan bahasa tubuh sudah cukup menggelikan hati.

Bahkan, Kak Limah juga bersama Hussin (Datuk Awie), Nayan (Ropie Cecupak), Yeh Sekupang (Allahyarham Rab Khalid), Khuda (TJ Isa), Zaitun (Uqasha Senrose), Encik Solihin (Zul Ariffin), Mus May (Bapak Bunian) serta ramai lagi menjadi punca filem arahan Mamat Khalid ini meraih kutipan luar biasa dalam sejarah perfileman tempatan iaitu RM32.5 juta dalam tempoh 18 hari tayangan. Pergghhh!!!

Jadi, kalau anda juri FFM nanti, siapa pilihan anda untuk trofi Aktres Terbaik? Ini pilihan buat masa ini, mana tahu kalau-kalau selepas ini ada muncul lagi lakonan berkesan aktres lain, contohnya Hannah Delisha dalam Langsuir (tayang September) atau Datin Diana Danielle dan Ummi Nazeera dari filem Gol & Gincu 2 (tayang Oktober).