Rusuhan Di Kuil, Anggota Bomba Patah Tulang Rusuk Masuk ICU

Gambar anggota bomba Muhammad Adib, yang cedera dipukul perusuh tersebar di media sosial.

Sedih MANGGA dengar apabila seorang Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diserang kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25 awal pagi tadi dilaporkan cedera parah.

Pegawai Penerangan JBPM, Dzulhaimy Dahari dalam satu kenyataan berkata, anggota terbabit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Sementara itu, memetik laporan Berita Harian Online,  mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.

Keadaan jentera bomba yang diserang perusuh- gambar Media sosial

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tadi itu, anggota berkenaan diserang apabila pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.

Anggota yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS itu ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Serangan itu juga turut menyebabkan pintu belakang tercabut, keempat-empat tayar jentera pecah selain kerosakan lain pada bahagian badan jentera dipercayai dipukul  objek keras.

Sama-sama kita doakan Muhammad Adib kembali sembuh. Besar pengorbanannya kepada masyarakat.

MANGGA juga  berharap kes rusuhan ini dapat diselesaikan dengan cara baik. Amin.. Amin..

Sumber: Utusan Online & Berita Harian Online