ROY MARTEN Bosan Jadi Baik, Komen Disiplin Pelakon Baharu

 

JAKARTA- Sesuatu yang menarik bagi penulis Mangga Media kerana dapat bertemu depan-depan dengan pelakon legenda terkenal Indonesia, Roy Marten, baru-baru ini.

Di usia 65 tahun, Roy Marten masih kuat dan ganteng. Sesuatu yang menarik juga, beliau berkongsi cerita dengan Mangga Media mengenai peranannya sebagai Marco di dalam mini siri Do[S]a, sebanyak 8 episod.

“Saya menjadi Marco yang luar biasa jahatnya. Inilah watak yang sudah lama saya nantikan. Puluhan tahun saya hanya jadi baik, kali ini saya puas,” katanya dalam rakaman video yang diatur oleh penerbit Do[S]a, Arie Zaharie.

Beliau juga ada pesan khusus buat semua pelakon generasi muda. Apa pula komen beliau tentang Malaysia?

Dosa merupakan terbitan eksklusif Astro, diarahkan sutradara terkenal Indonesia, Ifa Isfansyah. Ia bakal disiarkan di saluran premium on demand seiring saluran televisyen Astro Citra (131), hujung tahun ini.

Wajah terbaharu Roy Marten di usia 65 tahun

Roy Marten lahir di Salatiga, Jawa Tengah pada 1 Mac, 1952. Zaman kegemilangan Roy adalah pada tahun 1977 saat dikenal sebagai salah satu dari kelompok bintang ‘The Big Five’, bersama pelakon legenda lain, Yati Octavia, Robby Sugara, Doris Callebaute dan Yenny Rachman.

Disebut demikian kerana mereka menentukan bayaran terbesar saat itu, Rp 5 juta (sekitar RM1,750) untuk sekali main filem di era 1970-an. Tahun 1977 pula tercatat Roy membintangi filem terbanyak sepanjang kariernya.

Mula membabitkan diri dalam perfileman sejak tahun 1974. Antara filem popularnya, Badai Pasti Berlalu (1976), Nafas Perempuan (1978), Kerikil Kerikil Tajam (1984), Hatiku Bukan Pualam (1985), Catatan Si Boy (2011) dan The Raid: Berandal (2014). Sehingga kini sudah ratusan judul filem dan sinetron.

Roy Marten puas sebagai antagonis di dalam mini siri Dosa

Setelah industri filem Indonesia melesu pada 1990-an, Roy beralih masuk ke layar kaca dengan membintangi beberapa judul sinetron antaranya Bella Vista I, Bella Vista II, Bella Vista III, Kupu- Kupu Kertas serta Hanya Kamu.

Hasil perkahwinan pertama dengan bekas isteri, Farida Sabtijastuti, mereka dikurniakan empat anak iaitu Monique, Aline, Galih dan Gading Marten yang mengikut jejaknya sebagai pelakon.

Dalam perkahwinan kedua dengan isteri sekarang, Anna Maria sejak1 April 1985, dikurniakan dua anak lagi, Merari Sabati dan Mahesa Gibran.

Salah satu babak Dosa di Jakarta, Roy Marten sebagai Marco sedang beraksi

 

Di lokasi penggambaran Dosa bersama sutradara Ifa Isfansyah (tengah baju biru) serta krew produksi di Jakarta