RM50 selamatkan NAM RON jadi penjenayah

WALAUPUN kisah kesempitan hidup ini berlaku 18 tahun lalu, baru kini pengarah dan pelakon filem One Two Jaga, Nam Ron mendedahkan kepada ramai.

Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan (48 tahun) pernah berhadapan kehidupan susah kerana tidak ada pekerjaan sehinggakan kehabisan wang simpanan. Apabila tiada wang untuk membeli makanan, beliau pernah terfikir untuk merompak sebuah kedai serbaneka di bawah bilik sewaannya.

“Bila tiada kerja, duit pun habis. Barang makanan pula habis licin. Dekat seminggu saya tidak makan. Saya masih ingat, dalam keadaan lapar saya berdiri depan kedai serbaneka di bawah kediaman saya. Saya terfikir ingin acu pisau pada juruwang kedai supaya dia serahkan duit,” beritahu Nam Ron.

Nam Ron dedah kisah 18 tahun yang lalu…

Namun jenayah itu Nam Ron tidak lakukan setelah kesusahan hidupnya diluahkan kepada rakan baik, U-Wei Haji Shaari yang juga merupakan pengarah filem.

“U-Wei menyeluk poket seluarnya, langsung menghulurkan RM50 kepada saya. U-Wei juga ada menceritakan kisahnya ketika bekerja di New York suatu ketika dulu pernah pandu teksi dan kerana kesempitan hidup juga terpaksa sesekali buat kerja kru produksi filem lucah. Dan apa yang penting, duit RM50 itu bikin saya batalkan niat merompak kedai.” Demikian luahan Nam Ron melalui Twitter miliknya yang RM50 dari U-Wei itu menyelamatkan beliau daripada melakukan kerja jenayah kedai serbaneka tersebut.

Nam Ron juga memberitahu, filem One Two Jaga arahan beliau mengambil sedikit inspirasi daripada pengalaman kisah yang dilaluinya.

Filem yang kini sedang di pawagam adalah adaptasi novel One Two Jaga. Namun ada babak yang tak terdapat dalam filem tetapi ada dalam novel.

Nam Ron tidak merajuk…

“Bahasa kesat dan terlalu politikal yang ditapis dalam filem ada dalam novel ini. Begitu juga momen-momen yang ditarik keluar pun ada dalam novel ini. Senang cakap novel ini boleh jadi pelengkap untuk penonton One Two Jaga,” beritahu Nam Ron. Novel adaptasi yang ditulis Sahidzan Salleh ini berada di tempat pertama dalam carta Buku Fixi.

Manakala dalam instagram milik Nam Ron ada menulis, “Ramai pula yang dah tengok #onetwojaga bagi ucapan tahniah dan minta jangan berhenti buat filem. Ada yang bagi kata-kata semangat lagi. Terima kasih sangat-sangat. La ni ai (saya) konfius sat. Depa ni suka filem inikah atau sebab takut ai betul-betul nak buat ‘porn’ sebab tu pi (pergi) tengok #onetwojaga. Bagi yang masih fikir ai nak merajuk sebab orang tak nak tengok #onetwojaga, ni ai nak bagitau kalau ai merajuk ai dah merajuk 25 tahun dulu masa (sebahagian)  korang belum lahir lagi. Hidup jangan serius sangat nanti cepat kena sakit jantung,” tulisnya sambil bergurau. Apa pun masih ada waktu untuk kita ke pawagam menonton karya Nam Ron. Jom ramai-ramai!