RM100 ribu… FAD BOCEY tumpang rezeki anak dan isteri

RM100,000…rezeki anak dan isteri Fad.

TAHNIAH kepada Fad Bocey yang menjuarai program Super Spontan Xtravaganza (SSX) dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dengan sebuah trofi. Sementara naib juara milik Izzue Islam yang mendapat RM50,000 dan trofi manakala tempat ketiga dimenangi Achey. Achey mendapat RM25,000 dan trofi.

Peserta peringkat akhir lain, Shahrol Shiro, Atu dan Joey masing-masing  mendapat wang tunai RM5,000 berserta trofi. Program diadakan di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada malam 21 September itu menyaksikan para peserta melakukan pelbagai permainan dengan lawak secara spontan.

SSX dihoskan pengacara popular Datuk AC Mizal. Sementara itu program ini dinilai dengan juri tetapnya Adibah Noor dan Afdlin Shauki serta  Aida Jebat sebagai juri jemputan.

Dari kiri: Izzue Islam, Fad dan Achey.
Perjuangan peserta SSX berakhir semalam.
Afdlin Shauki dianggap Fad sebagai sifunya…

Fad atau nama penuhnya Muhamad Fadzlie Mohd Nizam meluahkan rasa syukur dengan kemenangan diraihnya. Beliau memberitahu dengan berkat doa dan sokongan isteri tercinta, Syahirah kejayaan ini adalah rezeki anak-anak kesayangan dan isteri.

“Syukur Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya dianugerahkan rezeki ini. Pertama sekali terima kasih buat bidadari saya, isteri yang sentiasa di belakang saya menyokong dalam semua hal dan tak putus doakan saya. I love you so much dan sekali lagi terbukti nyata rezeki ini, rezeki anak-anak saya iaitu Hayyan, Zayyan dan Aminah juga rezeki isteri. Saya hanya menumpang rezeki mereka.

“Terima kasih buat mak abah saya, mama abah saya sentiasa tak putus doakan saya. Alhamdulillah seterusnya terima kasih untuk insan yang sangat penting dan istimewa dalam hidup saya, sifu dan abang Datuk Afdlin Shauki, insan yang terlalu banyak jasanya untuk saya, sentiasa percaya pada diri ini,” antara luahan daripada Fad yang ditulis dalam instagram miliknya.

Dengan kemenangan malam itu, Fad dan isteri merancang untuk memulakan perniagaan produk kosmetik miliknya sendiri. Mengambil inspirasi daripada kawan-kawan artis lain yang sudah berjaya dalam perniagaan masing-masing, Fad tekad ke arah yang sama.