Reza Rahadian Kembali Seksa Bunga

Reza Rahadian dan Bunga Citra Lestari harus berubah penampilan serta wajah demi watak dalam filem My Stupid Boss 2.

DUA tahun lalu, watak Bossman lakonan Reza Rahadian dari filem My Stupid Boss, dilihat sebagai seorang ketua yang menjengkelkan kerana sering membuatkan pembantu peribadinya, Diana (Bunga Citra Lestari) pening kepala.

Kini dalam sekuel filem terbitan Falcon Pictures yang dijangka memulakan penggambaran 6 Ogos ini, Reza kembali ‘menyeksa’ Bunga.

“Dalam filem My Stupid Boss 2 ini, yang seronoknya saya masih punya peluang untuk terus menyeksa Bunga,” seloroh Reza kepada wartawan semasa pelancaran filem sekuel tersebut di Pondok Indah Mall, Jakarta Selatan, baru-baru ini.

Selalu dipanggil Kerani dan diarah membuat macam-macam kerja, watak lakonan Bunga itu harus banyak tahan sabar walau terpaksa ‘makan hati’ mengadap kelakuan Bossman yang merimaskan.

“Kerana wataknya memang dibikin untuk tidak boleh melawan dan dia juga dibayar untuk diseksa,” seloroh Reza lagi yang serasi berpasangan dengan Bunga, sejak filem pecah panggung Habibie & Ainun pada 2012. Mereka turut membintangi filem 3 Srikandi.

Bunga pula dalam kenyataannya kepada Mangga Media, mengakui sukar menolak tawaran menggandingkannya dengan Reza.

“Dia bukan sekadar sahabat baik malahan lawan lakon yang paling bagus. Sukar untuk menolak tawaran berlakon dengannya.

“Kerana dia adalah aktor Indonesia yang sangat bagus dalam serba serbi, bukan sahaja persembahan lakonan, tetapi juga disiplin kerja dan saling serasi bekerjasama.

“Memang sudah ketentuan watak ‘Kerani’ itu harus berhadapan Bossman yang menjengkelkan. Saya kan dibayar untuk diseksa,” seloroh Bunga pula.

Pelakon Malaysia yang turut terlibat dalam filem My Stupid Boss 2 ialah Atikah Suhaime dan Chew Kin Wah.