Remy Ishak Kekasih Paksa Rela

SETELAH agak lama tidak muncul dalam drama televisyen, aktor Remy Ishak kembali menerusi drama bersiri Kekasih Paksa Rela di slot Akasia, TV3.

Kehidupan bermadu sememangnya tidak pernah manis bagi kaum hawa yang sentiasa menganggap diri mereka mangsa penipuan.

Apatah lagi apabila dimadukan tanpa pengetahuan mereka.  Kekasih Paksa Rela berkisar tentang Adham (lakonan Remy Ishak) dan Rosnaida (Ain Edruce) bernikah selepas tamat belajar tanpa persetujuan ayah Adham, Datuk Azman.

Semenjak itu, hubungan Rosnaida dan bapa mentuanya tidak pernah baik, walaupun telah diusahakan oleh Adham dengan pelbagai cara untuk merapatkan hubungan mereka.

Putus asa akhirnya Rosnaida membuat keputusan membawa diri dengan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan enggan pulang ke Malaysia.

Ketika ketiadaan Rosnaida, Adham telah menyelamatkan Hanan daripada kejahatan bapa tirinya.

Antara babak menarik drama Kekasih Paksa Rela

Demi mengelakkan sebarang fitnah daripada keakraban mereka, Adham memperisterikan Hanan tanpa perbincangan bersama Rosnaida.

Konflik institusi perkahwinan Adham memuncak apabila Rosnaida pulang secara tiba-tiba. Sanggupkah Adham menceraikan Hanan demi Rosnaida atau sebaliknya?

Atau adakah mereka akan meneruskan kehidupan mereka secara berpoligami?  Selain Remy Ishak dan Ain Edruce, turut berlakon, Intan Najuwa, Afzan Rahman, Dayang Areeda, Fizz Fairuz, Emelda Rosnaida serta Aman Graseka.

Drama arahan Idora Abdul Rahman, terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd memulakan siaran esok Selasa, 26 Disember, setiap Isnin hingga Khamis pukul 7.00 malam.