Raline Shah Dedah Alasan Sertai Air Asia

Raline Shah popular menerusi watak Meirose di filem Surga Yang Tak Dirindukan

MANGGA MEDIA pada Selasa, 8 Ogos, ada menyiarkan pengumuman Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengenai pelantikan pelakon dan model jelita Indonesia, Raline Shah,33, sebagai salah seorang Pengarah di syarikat penerbangan PT Air Asia Indonesia.

Pengumuman tersebut merupakan berita baik bagi seorang artis yang bukan sahaja sedang membina nama di perfileman Indonesia tetapi juga bakal mengepalai sebuah syarikat penerbangan terkenal seluruh dunia.

“Saya datang dari keluarga yang terlibat dalam perniagaan. Bapa dan bapa-bapa saudara saya semuanya usahawan.

“Jadi, peluang yang diberikan ini secara tak langsung membolehkan saya bisa juga berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Secara peribadi, bidang perniagaan ibarat sudah menjadi darah daging saya. Jadi, saya menerima tawaran ini dengan baik.

“Bahkan, saya juga bisa belajar banyak dari Air Asia,” jelas Raline ketika ditanya pihak media tentang alasan menyertai syarikat penerbangan popular tersebut.

Bintang filem popular Surga Yang Tak Dirindukan ini lahir di Jakarta dan mengawali karier seni sejak menyertai pertandingan Puteri Indonesia pada 2008.

Lain-lain filem popularnya, 5 CM, 99 Cahaya Di Langit Eropa, Supernova dan terbaharu khabarnya bakal menyertai filem Polis Evo 2, arahan Ghaz Abu Bakar.

Raline juga baru-baru ini berduet dengan penyanyi Marcell Siahaan menerusi lagu Jadi Milikku. Beliau berkelulusan Ijazah Muda Sastera Sains Politik dari National University of Singapore.

Raline Shah kini Pengarah Air Asia Indonesia