Qari Dina & Qari Salimah Juara Qari Jr 2018

Qari Cilik, Dina dan Salimah menjuarai Qari Jr 2018.

PERJALANAN adik-adik Qari Jr 2018 yang penuh dengan onak duri akhirnya tamat apabila Qari Dina dan Qari Salimah yang mewakili Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum berjaya menewaskan pesaing mereka lantas menyandang gelaran juara!

Kedua-dua si cilik ini telah membuktikan kemampuan masing-masing sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 serta hamper bernilai RM1,000 sumbangan Almas Beauty & Health Sdn. Bhd, pakej umrah untuk dua orang, komputer riba, baucar tunai bernilai RM1,000 dan juga telekung.

Secara automatiknya, wakil Yayasan al Huffaz iaitu Qari Adham dan Qari Uzair telah dinobatkan sebagai naib juara, dengan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 sumbangan TV3, hamper bernilai RM500 tajaan Almas Beauty & Health Sdn. Bhd, tablet untuk dua orang, baucar membeli-belah bernilai RM1,000 dan juga telekung.

Menariknya episod kali ini, para peserta telah diuji dalam segmen Taranum. Selama enam minggu, kesemua peserta hanya bertaranum dalam bentuk Taranum Murattal.

Namun, pada peringkat akhir ini mereka perlu bertaranum secara Mujawwad, iaitu taranum dalam Musabaqah.

Untuk segmen pertama ini, Qari Dina dan Qari Salimah telah membaca Surah Al-Isra, ayat 1-4 & 5-8. Manakala, panel juri pula telah memberi Surah Al-Mukminun, ayat 1-11 & 12-17 kepada Qari Adham dan Qari Uzair untuk dibaca dengan taranum yang betul.

Secara keseluruhannya, kedua-dua kumpulan ini bijak mengawal pernafasan mereka dan bacaan surah juga amat mengagumkan.

Segmen Qasasul Quran.

Seterusnya, untuk segmen Qasasul Quran, setiap kumpulan telah menyampaikan kisah-kisah Nabi yang sarat dengan pengajaran.

Kumpulan Qari Dina dan Qari Salimah telah berkongsi tentang Kisah Wahyu Pertama Rasulullah S.A.W,manakala kumpulan Qari Adham  dan Qari Uzair pula telah menyampaikan cerita bertajuk Kisah Siti Khadijah & Isteri Solehah. Markah setiap peserta diberi berdasarkan isi jalan cerita dan juga ekspresi penyampaian.

Selesai sudah segmen Qasasul Quran, peringkat akhir Qari Jr 2018 diteruskan dengan segmen hafazan, yang telah dimulakan dengan kumpulan Qari Dina & Qari Salimah. Mereka telah mengalunkan Surah Al-Baqarah, ayat 44-48 & 49-54, dan kumpulan Qari Adham & Qari Uzair pula telah membaca Surah Al-Baqarah, ayat 21-24 & 25-27. Kedua-dua kumpulan mendapat pujian daripada panel juri kerana berjaya mengekalkan momentum yang bagus sejak minggu pertama lagi.

Peringkat akhir Qari Jr 2018 diakhiri dengan segmen IQ Qari, di mana kedua-dua kumpulan ini harus menjawab setiap soalan tentang pengajaran Al-Quran dengan cekap dan tangkas.

Segmen Taranum.

Kepintaran kumpulan Qari Dina & Qari Salimah terserlah apabila mereka berjaya mendahului Qari Adham & Qari Uzair setelah berjaya mengumpul markah sebanyak 180.

Peserta Qari Jr 2018 dinilai sepenuhnya oleh juri profesional yang diwakili Ustaz Ahmad Shukri Yusoff & Dr. Luqman Ibrahim. Qari Jr. 2018 yang menampilkan Muaz Mohamed sebagai hos musim ini diterajui oleh Russila Ilmi Hj. Zainal sebagai penerbit dan ditaja oleh Almas Beauty & Health Sdn. Bhd.