Punya Anak Sendiri, Zizie Izette Ditanya Masih Sayangkah Anak Angkat?

Zizie Izette bersama anak-anak bercuti di Pulau Santorini, Greece.

PELAKON Zizie Izette, 39, mengakui tidak selesa dengan pertanyaan segelintir pihak apakah beliau masih sayangkan dua anak angkatnya, Nayla Nurjenna, 3 dan Aaric, setahun, setelah dikurniakan anak sendiri sepasang kembar lelaki bernama Aadam Zac  dan Aaleph Zeke, lapan bulan?

“Saya dan keluarga tak ada rasa itu anak angkat. Bahkan nak jawab soalan macam ini pun saya rasa tak selesa.

“Selalunya orang luar yang sebut anak angkat. Dalam keluarga saya, tak ada istilah anak angkat.

“Perkataan itu tidak wujud dalam kamus hidup kami sekeluarga. Mereka adalah tanggungjawab kami dan amanah daripada Allah.

“Semua disayangi sama rata,” jelas pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini menjawab pertanyaan netizen menerusi akaun peribadi Instagram.

Pelakon filem Kekasih Awal & Akhir ini melahirkan bayi kembar lelaki pada  29 Disember lalu setelah lapan tahun mendirikan rumah tangga dengan ahli politik dari Kinabatangan, Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 58.

Semasa membawa anak-anak bercuti ke Pulau Santorini, Greece, baru-baur ini, Zizie meluahkan kesedihan kerana terpaksa meninggalkan seorang lagi anak angkatnya, Aaric.

“Aaric tak dapat turut serta kerana masih belum mempunyai dokumen lengkap.

“Sebelum ini pun Jenna hadapi masalah sama dan harus menunggu tiga tahun baru boleh ada dokumen untuk ke luar negara,” terang kakak aktor Shaheizy Sam ini.

Menanti lapan tahun sebelum dikurniakan anak kembar lelaki yang kini berusia lapan bulan.

Zizie juga ditanya bagaimana membahagikan masa menjaga empat anak dengan suaminya selalu sibuk dengan kerjaya politik?

“Walaupun Datuk Seri selalu sibuk tetapi tak pernah lupa akan tanggungjawab dan telah pun memudahkan tanggungjawab saya dengan menyediakan beberapa pengasuh anak.”

Lapan tahun menanti hamil anak sendiri, Zizie memberi kata-kata semangat kepada netizen yang masih belum ada rezeki punya anak sendiri.

“Saya tak ada ambil apa-apa vitamin untuk hamil. Cuma perlu banyakkan bersabar dan percaya bila tiba masanya, Allah akan bagi,” ungkap Zizie lagi.