Pukul Produser, Go Hyun Jung Angkat Kaki Dari Drama Return?

Go Hyun Jung sebagai peguambela Choi Ja Hye dan Lee Jin Wook memegang watak Detektif Bahagian Jenayah di dalam drama Return yang bersiaran di saluran One HD setiap Khamis dan Jumaat

BARU semalam (Jumaat, 9 Februari), drama bersiri penyiasatan popular Korea, Return masuk episod 8, disiarkan OneHD (saluran Astro 393) setiap Khamis dan Jumaat, pukul 8.15 malam, pelakon utamanya Go Hyun Jung mahu angkat kaki!

Aktres popular Korea Selatan berusia 46 tahun itu memegang watak peguambela Choi Ja Hye bergandingan dengan Detektif Bahagian Jenayah, Dokgo Young (lakonan Lee Jin Wook) menyelesaikan misteri pembunuhan seorang perempuan simpanan, Yeom Mi Jeong, mengheret Kang In Ho sebagai suspek utama.

Return mencapai rating tertinggi seluruh Asia sejak awal bersiaran, 24 jam setelah tayangan di Korea.

Agensi mewakili Go, IOK Company menyatakan berlaku bergaduhan di lokasi kerana berbeza pendapat.

“Selama ini Go Hyun Jung telah menjalani penggambaran dengan bertanggungjawab dan gembira. Namun, ada perbezaan pendapat  antara Go dengan pasukan pengarahan.”

Salah satu babak menarik drama Return

Khabarnya, pihak produksi Return tidak berhasrat meneruskan penggambaran setelah laporan menyebut Go menyerang produser.

“Ada banyak saksi melihat mereka bertengkar dan kemudian Go bertindak memukul produser,” cerita seorang saksi.

Tidak mahu namanya tercalar, Go melalui agensi pengurusannya mempertahankan diri. “Timbul salah faham. Memang benar ada berlaku pertengkaran mulut kerana berbalah pendapat.

“Tetapi tidak benar dakwaan kononnya Go mengasari produser. Go tidak mahu khalayak mendapat maklumat salah jadi dia tampil membela diri,” tutur wakil agensi pengurusan.

Go Hyun Jung sebagai peguambela Choi Ja Hye yang turut mengendalikan program berbentuk perundangan berjudul Return

Jadi, bagaimana kesudahannya? Adakah benar Go bakal angkat kaki dari drama Return yang semakin membara dengan kisah penyiasatan dan misteri pembunuhan?

Return dibintangi Go Hyun Jung sebagai Choi Ja Hye, Lee Jin Wook (Dokgo Young), Shin Sung Rok (Oh Tae Seok), Bong Tae Gyu (Kim Hak Beom), Park Ki Woong (Kang In Ho), Jung Eun Chae (Geum Na Ra) serta Yoon Jong Hoon (Seo Joon Hee).

SINOPSIS:

Choi Ja Hye  adalah seorang peguambela terkenal yang juga hos program berbentuk perundangan, Return. Dokgo Young, Detektif Bahagian Jenayah di mana mereka bekerjasama menyelesaikan misteri pembunuhan membabitkan suspek utama seorang anak taikun perniagaan terkenal.

Manakala empat lelaki kaya-raya iaitu Kang In Ho, Oh Tae Seok, Kim Hak Beom dan Seo Joon Hee bersahabat baik sejak zaman persekolahan, terjebak kes pembunuhan perempuan simpanan Kang In Ho iaitu Yeom Mi Jeong.

Choi Ja Hye bertindak sebagai peguambela Kang In Ho yang juga merupakan suami kepada teman sekuliahnya di universiti, Geum Na Ra.

Choi dan Dokgo berusaha mencari siapa pembunuh sebenarnya walaupun berhadapan pelbagai rintangan.

Go Hyun Jung, aktres popular Korea Selatan berusia 46 tahun