Priyanka Chopra Sakit Hati Putus Cinta!

SUPERSTAR Bollywood, Priyanka Chopra yang semakin membina tapak kukuh di Hollywood mengejutkan khalayak apabila secara mendadak mengakui baharu sahaja putus cinta tahun lepas!

Bintang filem Bajirao Mastani, Gunday dan siri popular Quantico itu berterus-terang meluahkan perasaannya dalam satu program bual bicara di Geo TV pada Isnin.

“Tiada apa-apa yang berubah. Saya tenang saja menghadapinya (putus cinta). Rasa sakit hati itu pasti ada.

“Tetapi hati kenalah kuat dan tidak mengalah.  Saat rasa sakit hati, harus mencari penyebabnya… harus tabah melaluinya,” jawab Priyanka.

Jelitawan berusia 36 tahun ini memang tidak pernah mendedahkan identiti kekasihnya malahan hampir tiada berkongsi perihal peribadi kepada umum.

Semua orang tertanya-tanya siapakah lelaki yang membuatkan Priyanka sakit hati? Biarpun sibuk dengan jadual kerja di Hollywood, namun masih belum bisa menyembuhkan kelukaan hatinya.

“Saya tidak suka lari dari masalah. Untuk meredakan rasa sakit hati, saya selalu kunjungi tempat-tempat menarik di Mumbai yang pernah kami habiskan masa bersama.

“Saya yakin suatu hari nanti akan bertemu pasangan sesuai, yang benar-benar saya idamkan,” luahnya lagi.