Populariti Mak Cun, Erma Fatima Bantu Peniaga Kecil

PLATFORM e-dagang Avana mengumumkan kerjasama dengan Mak Cun untuk membantu pengusaha perniagaan kecil dan mikro membangunkan perniagaan mereka melalui ekonomi digital.

Selepas menempa kejayaan menerusi drama bersiri, diikuti dengan teater muzikal, Mak Cun ternyata mencetus fenomena tersendiri.

Mak Cun terus meluaskan empayar  dengan Mak Cun Mart (www.makcunmart.com.my), berbekalkan pengalaman dan kegigihan, Mak Cun telah berjaya membawa perniagaan industri kecil dan sederhana ke pasaran yang lebih besar.

“Penonton TV yang mengikuti siri drama Mak Cun pasti mengenali karakter dan wawasan Mak Cun untuk mengambil alih dunia dengan perniagaannya.

“Apabila Peniagawati mengundang saya menyertai program Misi Fesyen & Perniagaan Malaysia di New York, saya menyedari bahawa itu merupakan peluang saya membawa jenama Mak Cun untuk membawa produk-produk usahawan kecil ke platform antarabangsa,” kata Erma Fatima, pencetus jenama yang semakin popular ini.

Erma menghasilkan rangkaian produk Mak Cun dengan kerjasama usahawan ISK (Industri Kecil dan Sederhana). Beliau giat membantu mereka menjenamakan dan memasarkan barangan keluaran mereka di bawah jenama Mak Cun.

Terkini, dengan kerjasama Avana, Erma Fatima akan melancarkan sebuah kedai e-dagang untuk produk-produk Mak Cun.

Di samping itu, pendidikan dan latihan tambahan akan disediakan untuk mendidik usahawan desa agar mereka dapat meluaskan sayap perniagaan mereka ke persada global.

Bermula dengan bisnes secara kecil-kecilan, kini usahawan IKS juga mampu memasarkan produk mereka ke seluruh Malaysia dengan kemudahan platfom e-dagang.

Melalui kemudahan yang disediakan di platform Avana, jenama Mak Cun juga dapat membantu usahawan IKS memperluaskan perniagaan.

Avana menyediakan sebuah platform e-dagang untuk usahawan-usahawan kecil dan mikro dengan harga serendah RM399 setahun dan pengguna perkhidmatan ini dapat membina sebuah perniagaan dalam talian dalam masa beberapa minit sahaja.

Kemudahan platform e-dagang ini juga dapat menyokong perusahaan mereka dari segi proses pengendalian stok dan invois secara automatik, sistem pembayaran atas talian yang

memudahkan proses pembayaran dalam talian dan ciri lain seperti mencetak nota konsainmen Poslaju dari rumah.