Polis Evo 2 lebih ganas dan mencabar?

EKORAN kejayaan filem Polis Evo yang mencatat box office tahun 2015,
kini menyusul Polis Evo 2 (PE2). Mampukah PE2 menggegarkan pawagam sekali lagi meraih kutipan tinggi seperti Polis Evo?

PE2 yang menjalani sesi penggambaran pada tahun lalu selama 85 hari di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 November.

Filem terbitan Astro Shaw dan Surya Citra Media (SCM), dan produksinya oleh BlackFlag ini masih memberi fokus kepada aksi-aksi polis yang lebih memukau malah jalan ceritanya diperkembangkan lebih meluas.

Pengarah muda Joel Soh dan Andre Chiew.

PE2 diarahkan oleh Joel Soh dan Andre Chiew manakala skripnya hasil karya gandingan Joel Soh, Anwari Ashraf dan Kyle Goonting.

Gandingan mantap ‘bromance’ antara Shaheizy Sam dan Zizan Razak sekali lagi menjadi taruhan selaku tunggak utama PE2 dan pelakon dari seberang Raline Shah.

PE2 turut membariskan pelakon gabungan tiga negara iaitu dari Malaysia, Erra Fazira, Soffi Jikan, Shafiq Naswip, Riz Amin, Hairul Azreen, Dennis Yin, Hairie Othman dan Rusdi Ramli. Manakala dari Singapura, Hasnul Rahmat, Jeff Catz dan Fir Rahman. Sementara itu pelakon Indonesia lain yang membintangi filem ini ialah Mike Lucock dan Tanta Ginting.

Zizan Razak dan Shaheizy Sam bersama penyanyi OST Polis Evo 2.

Lagu tema memainkan peranan penting dalam perjalanan sesebuah filem, justeru lagu berentak ‘up beat’ yang sesuai dengan kisah filem yang mengangkat martabat, tema kehidupan dan cabaran sebagai anggota polis telah dipilih menjadi runut bunyi bagi PE2. Lagu Sang Saka Biru nyanyian gabungan penyanyi Hip Hop popular Malaysia iaitu Joe Flizzow, SonaOne, Altimet dan Alif. Sang Saka Biru karya Alif dan SonaOne manakala liriknya oleh Joe Flizzow, Altimet dan Alif.

PE2 menampilkan Inspektor Sani dan Khai yang terlibat dalam sebuah misi pengintipan di sebuah pulau terpencil di pantai timur. Suasana bertukar keruh apabila sekumpulan pengganas yang diketuai oleh Hafsyam Jauhari menyerang dan menawan pulau tersebut.

Sani ditahan oleh kumpulan pengganas bersama dengan 200 orang kampung yang dijadikan tebusan, manakala Khai pula terperangkap di kawasan kampung. Sani cuba melawan ketua kumpulan pengganas itu dari dalam tempat tahanan selepas menyaksikan sendiri keganasan kumpulan tersebut.

Khai pula berjaya menemui seorang polis perisik dari Indonesia dan empat orang anggota pasukan khas yang dihantar oleh kerajaan Malaysia. Mereka bertujuh ini bersama-sama menyahut cabaran yang paling getir dalam kerjaya mereka sebagai polis untuk menumpaskan Hafsyam Jauhari bersama kumpulannya dan menyelamatkan lebih 200 tebusan di pulau itu.

Peminat juga boleh  mendapatkan koleksi istimewa Polis Evo 2 di BHPetromart dan menyertai peraduan untuk memenangi tiket ke Tayangan Gala serta menangi pelbagai hadiah lumayan dengan menyertai Peraduan Polis Evo 2 anjuran DASHING, jenama produk penjagaan lelaki!.